Permasalahan Rakyat Tetap Jadi Fokus UMNO – Hairi

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Johor berharap parti lebih fokus dan mendekati kelompok-kelompok yang di bawah serta susah kehidupannya dan mengerahkan semua tenaga membantu golongan itu.

Menurut Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah, walaupun negara kini dalam tempoh darurat dan sidang Parlimen digantung, tumpuan kepada permasalahan rakyat hendaklah menjadi keutamaan.

“Saya mohon kepada pucuk kepimpinan UMNO sehingga ke akar umbi, kita memfokuskan kepada rakyat hari ini. Rakyat adalah nadi utama kita…rakyat juga adalah penentu segala-galanya. Cukuplah berpolitik sehingga Ogos ini.

“Kita sedar dan yakin selepas COVID-19 ini berkurangan dan apa yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pilihan raya akan dibuat mengikut perlembagaan demokrasi. Pada masa itu kita lawan dan terus lawan…jangan pandang belakang lagi dan terus memikirkan secara tuntas permasalahan rakyat.

“Kita sedar sama ada di Kuala Lumpur atau Johor Bahru semakin ramai gelandangan bertambah, mereka tidur di kaki lima, ada yang hilang pekerjaan,tidak mampu menyewa rumah. Takkan hendak berpolitik lagi? Apa tindakan kerajaan untuk membantu golongan-golongan seperti itu?,” soalnya.

Justeru bercakap kepada UMNO Online, Hairi berkata Pemuda Johor akan terus fokus dan mencari kelompok yang terkesan serta membantu selagi masih mempunyai daya dan keringat.

Tambah Hairi lagi, dalam tempoh PKP terutamanya di Johor, Pemuda UMNO Johor mengharapkan agar rakyat mematuhi SOP dan menurunkan jumlah kes.

“Bagi mereka yang terjejas banjir sentiasa mengikuti perkembangan dan pengumuman pihak berkuasa. Jangan bermain air banjir… jaga keselamatan diri serta keluarga kerana banjir dan COVID-19 ini tidak mengenal siapa kita,” ujarnya.

Dalam pada itu Hairi mengharapkan agar kerajaan dapat meluluskan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat dan lanjutan moratorium kerana rakyat sekarang ini kesukaran berdepan dengan PKP dan bencana banjir.

“Dengarlah suara rakyat dan dampingi mereka. Insya-Allah… suara-suara mereka, saya sendiri akan menyuarakan lebih-lebih lagi mengenai pengeluaran Akaun 1, KWSP.

“Longgarkanlah syarat-syarat dan berikanlah semua pihak tanpa terkecuali. Mereka memerlukan, lanjutkan moratorium. Hari ini apabila berdepan dengan PKP dan darurat, mereka panik… apa tindakan kerajaan?,” soalnya lagi – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.