Hentikan Polemik Politik : Fokus Bela Dan Bantu Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO berpendirian, UMNO harus menjadikan mantra ‘Tradisi Membela Rakyat’ sebagai teras perjuangannya ketika ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi menerusi facebooknya berkata kepimpinan UMNO sama ada di dalam mahupun di luar pentadbiran kerajaan mesti berusaha menuntut bagi pihak rakyat perkara-perkara yang menyentuh kebajikan mereka.

Antaranya menurut beliau mempermudahkan pengeluaran i-Sinar KWSP tanpa syarat atau kriteria selain bantuan kebajikan rakyat musim PKP 2.0 sebagaimana PKP kali pertama serta lanjutan moratorium tanpa syarat dan tidak dikenakan penalti atau caj tambahan.

“Pandemik Covid-19, proklamasi Darurat dan musibah banjir buruk yang menimpa beberapa buah negeri, hakikatnya memberi kesan besar terhadap kehidupan rakyat.

“Natijah pandemik kepada ekonomi semakin terasa hinggakan pelaburan makin menguncup dan kadar pengangguran kian meningkat, turut menyebabkan rakyat makin susah, resah dan gelisah memikirkan soal kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Katanya lagi berbeza dengan PKP yang bermula pada Mac tahun lepas, tekanan pada PKP 2.0 kali ini, ditambah dengan proklamasi Darurat sudah tentu lebih meruncing.

Jelasnya rakyat terpaksa menghadapinya tanpa moratorium automatik, tanpa bantuan tunai yang besar, tanpa insentif gaji pekerja dan ditambah dengan bencana alam di beberapa negeri.

“Semua ini akan memberi kesan kepada moral dan keyakinan rakyat dalam menghitung hari-hari mendatang.Di tengah-tengah krisis pandemik dan keperitan rakyat ini, sudah tentu polemik politik, sama ada dalaman parti dan antara parti adalah perkara terakhir yang rakyat mahu terjebak atau terheret.

“Justeru, ketepikan seketika hiruk-pikuk perpolitkkan dan berpolemik mengenai kuasa dan kedudukan, demi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada isu-isu membela rakyat dan membantu mereka yang benar-benar susah dan gelisah,” ujarnya.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.