Akan Buat Yang Termampu Berdepan Serangan COVID-19, Bencana Alam – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 15 Jan – “Saya akan buat apa yang termampu, walaupun kita kena berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran seperti serangan COVID-19 dan bencana alam yang tidak mampu kita halang.”

Demikian tegas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin merangkap Ketua UMNO Sabah dalam berdepan dengan bencana ketika ini.

Jelas beliau, ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu di Sabah dan hujan lebat di beberapa buah daerah telah mengakibatkan banjir. 

“Saya akan buat apa yang termampu, walaupun kita kena berhadapan dengan berbagai bagai cabaran seperti serangan COVID-19 dan bencana alam yang tidak mampu kita halang.

“Kita telah mewarisi keadaan ini berpuluh puluh tahun, sudah tentu kita akan melalui jalan sukar, namun sekiranya kita ada kesungguhan, insya-Allah kita akan dapat mengatasi masalah dan rintangan yang dihadapi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut menerima maklumat bahawa beberapa jalan raya dan jambatan sudah runtuh dan terputus.

“Saya meminta semua jurutera JKR Daerah memantau keadaan ini, jika di bawah pengawasan JKR, tindakan susulan perlu diambil perhatian segera.

“Kepada penduduk terjejas banjir, sentiasa berwaspada utamakan keselamatan diri dan keluarga,” ujarnya.

Terdahulu lima daerah di Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Tongod dan Beaufort melibatkan 90 kampung terjejas banjir berikutan hujan berterusan sejak Ahad, namun belum ada mangsa banjir dipindahkan di Daerah Tongod dan Beaufort. – UMNO Online