Patuhi SOP… UMNO Sentiasa Bantu Rakyat – Hariri

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Pemuda UMNO Kelantan mengharapkan agar rakyat dapat mengikuti dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan yang melaksanakan kali kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketuanya, Noor Hariri Mohd Noor berkata ketegasan dalam melawan pandemik COVID-19 haruslah dilakukan dengan semaksimum mungkin kerana virus ini boleh menular dengan cepat jika tidak dipatuhi.

“Kita tidak ada kompromi dari sudut SOP kerana kita bimbang apabila tidak menjaga SOP, penularan wabak ini dapat tersebar dengan mudahnya. Yang penting kita kena putuskan rantaian COVID-19 ini sesama kita.

“Dalam situasi tempoh PKP, PKPB atau pun darurat ini, Pemuda UMNO dan juga UMNO Pusat sentiasa membantu rakyat yang terkesan akibat daripada pandemik COVID-19 walaupun ekonomi negara masih merudum,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Hariri lagi, dengan norma baharu ini ia dapat memutuskan rantaian jangkitan supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak COVID-19 dapat dikurangkan.

“Saya menasihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya mematuhi SOP kerana ini mandatori untuk kita memutuskan rantaian COVID-19 ini. Selain daripada itu pencegahan juga boleh dilakukan dirumah.

“Amalkanlah perkumuhan anti septik dan selalu meminum air suam kerana ini adalah faktor yang boleh mencegah kuman virus COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu Hariri juga menambah bahawa UMNO telah meminta akar umbinya di seluruh negara agar dapat membantu mangsa banjir di negeri yang terjejas dengan bencana alam termasuk dalam urusan pembersihan.

“UMNO semestinya akan membuat sedaya upaya untuk menggerakkan bantuan dari sudut pembersihan terhadap kawasan-kawasan yang terkesan akibat banjir. Bantuan ini juga meliputi barang-barang keperluan asas mengikut keadaan semasa situasi banjir tersebut.

“Saya mohon penyelarasan dan koordinasi dapat dibuat oleh Agensi seperti NADMA dan Kerajaan Negeri bagi memberi lebih keberkesanan dalam bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat banjir ini,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.