Janganlah Keruhkan Keadaan, Rapatkan Saf Kukuhkan Parti – Rizam

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Rizam Ismail berpandangan dalam keadaan politik yang tidak stabil dan ekonomi yang tidak menentu janganlah masing-masing cuba mengeruhkan lagi keadaan dengan memusnahkan ‘rumah’ sendiri daripada dalam.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu, ini bukan masanya untuk berpecah-belah dan berantakan sesama sendiri sebaliknya masing-masing apatahlagi pimpinan di bahagian perlu menunjukkan contoh yang baik kepada akar umbi.

“Sebagai pemimpin yang matang kita perlu menyeru agar kepada ahli-ahli parti agar merapatkan saf dan bersatu padu di belakang pemimpin utama kita iaitu Presiden UMNO. Institusi Presiden adalah institusi tertinggi di dalam parti yang perlu dipertahan.

“Jangan kita merobek lagi luka yang sudah terpahat. Ada baiknya jika kita memfokuskan kekuatan kita dengan membantu rakyat yang kini sengsara dengan pelbagai masalah ekonomi akibat COVID-19,” kata Rizam yang juga Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah Ketua Pembangkang DUN Selangor itu lagi, UMNO mempunyai disiplin parti yang perlu diikuti oleh ahlinya dan pemilihan UMNO adalah medan ahli untuk memilih pemimpinnya.

“Oleh itu, sebagai ahli UMNO yang mendokong perlembagaan parti perlulah jadikan pemilihan UMNO sebagai medan memilih pemimpin dan bukannya dengan mendesak meletakkan jawatan atau berehat jika kepentingan kita tidak dituruti.

“Sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Kamu wajib patuh dan setia, sama ada dalam keadaan susah atau senang, suka atau duka dan walaupun merugikan kepentinganmu (HR. Muslim No. 1836),” ujarnya.

Terdahulu Rizam merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pontian, Mohd Helmi Buang yang meminta untuk presiden sekali lagi berehat dan berundur dari jawatan Presiden UMNO. – UMNO ONLINE

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.