PKP 2.0: Bantuan Berterusan Amat Penting, Beri Kerjasama Bendung COVID-19 Merebak

KOTA KINABALU, 14 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengajak semua pihak untuk sama-sama memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada usaha-usaha membendung wabak COVID-19 dari terus merebak.

Ini kerana katanya, COVID-19 adalah musuh jelas dan nyata harus dicegah dan dihindari demi ekonomi negara pulih dan berkembang demi kemaslahatan sejagat.

“Malaysia kini berhadapan dengan cabaran besar selepas peningkatan kes Covid-19 secara mendadak hingga mencecah 3,000 kes setiap hari. Kebimbangan inilah menjurus kepada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri seperti mana diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini

“Dalam keadaan barisan hadapan hampir lumpuh kerana tidak dapat menampung kes yang tinggi, maka wajib untuk kita sama-sama patuh pada arahan kerajaan iaitu duduk di rumah lebih-lebih lagi yang berada di kawasan zon merah.

“Bagaimanapun, bantuan dan insentif haruslah diberikan secara berterusan memandangkan PKP ini saya jangka akan berlanjutan sekiranya kes masih belum menurun,” katanya dalam tulisan terbaharu menerusi https://sallehsaid.com/ hari ini.

Katanya, sangat ramai golongan yang terkesan akibat pandemik ini bahkan ia terjadi kepada ekonomi seluruh dunia yang memetik kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNFPA tahun lalu, iaitu lebih 826,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan sementara kadar pengangguran berada di paras 5.3% tahun lalu.

“Maka penting untuk bantuan berterusan kepada mereka yang lebih-lebih lagi kurang didedahkan kepada jaringan perlindungan sosial seperti sumbangan Perkeso. Ia berikutan mereka yang bekerja sendiri dan pekerja dalam ekonomi gig, seperti pemandu e-hailing.

“Para peniaga dan penjaja misalnya masih belum pulih sepenuhnya selepas PKP dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu. Meskipun diberi kelonggaran selepas itu mereka baharu bernafas untuk memulihkan perniagaan masing-masing.

“Laporan media beberapa hari lalu turut mengatakan kebimbangan persatuan peniaga yang menjangkakan perniagaan mereka akan gulung tikar dan amat memerlukan bantuan dan insentif untuk terus bertahan dalam industri.”

Ujarnya lagi, selain itu insentif dan pakej kewangan yang berpusatkan kepada pekerja wajar juga dilaksanakan agar mereka dapat mengambil lebih ramai pekerja terutamanya siswazah yang baru menamatkan pengajian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.