Ahmad Maslan Ketuai Sukarelawan Ibu Pejabat UMNO Turun Padang Bantu Pasca Banjir

KUALA KRAU, 13 Jan – Hampir 100 kakitangan ibu Pejabat UMNO dan NGO, Srikandi Malaysia yang diketuai Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turun padang membantu mangsa-mangsa banjir di Maran, Temerloh dan Kuala Krau.

Bantuan pasca banjir itu tertumpu di beberapa kawasan seperti rumah serta kemudahan awam termasuklah masjid, dewan dan sebagainya.

Di Kuala Krau, Ahli Parlimennya, Datuk Seri Ismail Mohamad Said turut turun padang bersama pasukan sukarelawan UMNO serta masyarakat setempat yang sama-sama membantu misi pasca banjir berkenaan.

Ahmad Maslan dalan komen ringkasnya berkata mudah-mudahan usaha berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu beban yang dihadapi oleh mangsa banjir.

“Hari ini kita pergi membantu membersihkan beberapa rumah dan juga kemudahan awam lain di Maran dan juga Kuala Krau.

“Untuk rombongan kami sebelum MCO dan darurat ini, kita pergi ke beberapa kawasan di tiga parlimen iaitu Kuala Krau, Maran dan juga Temerloh.

“UMNO juga telah menubuhkan jawatankuasa bencana dan kebajikan yang dipengerusikan Datuk Seri Shahidan Kasim. Insya-Allah semoga semuanya dipermudahkan,” katanya kepada UMNO-Online.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamad Said pula berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kakitangan ibu pejabat UMNO yang turun padang bukan sahaja di Parlimen Kuala Krau yang terlibat banjir malah kawasan lain.

“Alhamdulillah hari ini kita di Perumahan Taman Paya Taram yang terdiri daripada 140 buah rumah yang ditenggelami air sebelum ini mendapat bantuan sukarelawan. Taman ini adalàh taman perumahan awam kos rendah yang terdiri daripada kalangan B40. Terima kasih sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat,” ujarnya.

Dalam pada itu satu lagi kumpulan sukarelawan Ibu Pejabat UMNO turut membantu membersihkan Masjid Kg Ulu Luit, Maran.

Santunan sukarelawan di kawasan berkenaan bukan sahaja turut disertai oleh Datuk Seri Ahmad Maslan, malah turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin bersama kepimpinan tempatan.

Ahmad Maslan sejurus di Maran bergegas pula ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sek Keb Kuala Setol bersama Srikandi Malaysia untuk menyerahkan bantuan kelengkapan persekolahan kepada mereka yang terlibat.

Beliau turut berkesempatan ke Kg Gajah Mati di Parlimen Temerloh bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyampaikan sedikit bantuan kepada mangsa banjir. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.