UMNO Tak Pernah Minta Segerakan PRU-15, Ada Sentimen Sengaja Diwujudkan – Nazri

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini menegaskan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 hanya perlu diadakan sekiranya penularan pandemik COVID-19 berakhir.

Beliau berkata ada sentimen yang sengaja diwujudkan untuk memberikan tanggapan negatif kepada UMNO yang kononnya parti itu meminta untuk menyegerakan pilihan raya.

“Saya nak bagi tahu… saya tidak minta pilihan raya serta merta atau dalam masa terdekat.

“Kena ingat, banyak orang-orang yang tidak suka kepada kita ini… dia sengaja nak timbulkan perkara ini untuk datangkan kemarahan rakyat kepada kita, kita tidak minta sebegitu,” katanya pada sidang media yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya jangkaan beliau untuk tarikh sebenar pilihan raya beliau berkata terpulang kepada kerajaan.

“Saya tidak tahu, kita tinggal kepada kerajaan untuk membuat keputusan. Saya boleh tunggu untuk enam bulan, tiada masalah.

“Tidak lari gunung dikejar, hilang kabus nampak lagi. Anda boleh lari, tapi bukan sepanjang masa , saya akan tunggu untuk saat itu,” tegasnya lagi. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.