Pimpinan Kerajaan Yang Timbulkan Dahulu Cadangan Adakan PRU15 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ramai pihak menyalahkan UMNO berhubung gesaan agar diadakan Pilihan Raya Umum (PRU-15) walhal ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bersidang pada 6 Januari lalu jelas bahawa ia hanya wajar dilakukan selepas pandemik COVID-19 reda dan saranan yang ditimbulkan oleh parti semata-mata demi kestabilan politik negara.

Mengulas perkara berkenaan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan untuk mengadakan PRU-15 asalnya bukan datang daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ujarnya, perkara tersebut pada awalnya datang daripada kepimpinan kerajaan sekarang yang pernah menyebutkan bahawa PRU mungkin diadakan akhir tahun yang lalu.

“Dan ini telah masuk Januari, mereka juga dahulu ada membayangkan bahawa pilihan raya mungkin diadakan sebelum berakhir suku tahun pertama 2021. Dan kemudian mereka membayangkan bahawa PRU akan diadakan sebelum pendaftaran pengundi 18 tahun secara automatik akan jadi pengundi.

“Dan selepas itu mereka memberikan alasan pandemik COVID-19 ini sedang berlaku maka mustahil pilihan raya itu diadakan sebelum Julai. Dan kita juga mendapat tahu bahawa mungkin juga mereka akan mengadakan pilihan raya apabila cukup penggal ertinya pada tahun 2023,” katanya kepada UMNO Online, yang ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan UMNO Bahagian Balik Pulau, di Balik Pulau, Pulau Pinang pada Ahad.

Dalam rangka lawatan kerjanya ke Pulau Pinang itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut meluangkan masa melakukan ziarah kasih di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Ahmad Zahid juga berkesempatan melancarkan Misi Bantuan Mangsa Banjir Di Pahang Skuad Sayang Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang di Seberang Jaya.

Berhubung dengan tindakan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), Ahmad Zahid berkata tentunya ada kedinamikan politik yang baharu.

“Dengan perkembangan baharu apabila Ahli Parlimen Machang (Ahmad Jazlan Yaakub) telah menarik sokongan (terhadap kerajaan Perikatan Nasional), maka tentunya ada kedinamikan politik yang baru.

“Dan kita serahkan kepada Speaker Dewan Rakyat dan kebijaksanaan Ketua Majlis Dewan Rakyat iaitu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri yang melakukan analisis dari segi perundangan dan dari segi politik apakah langkah-langkah selanjutnya yang akan dilakukan oleh mereka,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.