Khidmat Untuk Rakyat, Santuni Mangsa Pasca Banjir Jadi Keutamaan – Rahman

LIPIS, 12 Jan – Misi membantu rakyat dan penduduk setempat yang diteggelami air di beberapa kawasan di Parlimen Lipis diteruskan dengan Ahli Parlimennya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sendiri bersama jenteranya menyantuni mangsa-mangsa banjir.

Beliau yang berada di kawasan berkenaan sejak hari pertama kawasan Lipis dilanda banjir tidak lekang tangan turun padang bersama pelbagai pihak yang lain membantu masyarakat setempat yang memerlukan bantuan.

Rata-rata mangsa banjir yang telah kembali daripada Pusat Penempatan Sementara (PPS) ke rumah masing-masing giat membersihkan rumah setelah ditenggelami air beberapa hari yang lalu ekoran bajir yang melanda kawasan tersebut.

Abdul Rahman dalam kenyataan ringkasnya berkata tradisi membela rakyat akan tetap diteruskan dan keperluan untuk mangsa banjir.

“Insya-Allah bantuan akan diberikan dalam pelbagai bentuk dan saya akan terus bersama dengan mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

“Kita memahami apa yang dilalui oleh mangsa-mangsa banjir hari ini dan kita sentiasa melihat perkara-perkara yang dekat dengan mereka. Bantuan keperluan, bakul makanan dan sebagainya insya-Allah kita akan disalurkan dan sama-sama kita membantu mereka yang memerlukan ini.

“Kita akan terus santuni mereka… ya dalam situasi hari ini tentunya cukup perit. Apa pun kita sama-sama berdoa kepada Allah swt agar segalanya dipermudahkan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Menerusi gerak kerja membantu mangsa banjir, Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1 meneruskan misi membantu mereka yang terlibat di beberapa kawasan termasuklah Berchang, Balai Raya Batu Nering, Seberang Jelai, Sg. Lik, Kemahang, Kelab KTM Jeram Batu dan Sebelah Tokong Cina Jalan Jelai.

Banjir yang melanda Pahang menyebabkan beberapa kawasan termasuklah di kawasan Lipis ditenggelami air sehingga menyebabkan ramai penduduk berpindah ke PPS. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.