Banjir: Kerajaan Disaran Peruntuk Dana Khas Bantu Mangsa – Pemuda UMNO Temerloh

TEMERLOH, 12 Jan – Kerajaan disaran untuk memberikan peruntukan khas kepada mangsa banjir bagi meringankan beban mereka menanggung kos kerugian membaiki rumah.

Exco Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berkata, pihaknya sudah pun melakukan operasi pembersihan kawasan yang terjejas namun bantuan daripada kerajaan juga amat diperlukan.

Menurutnya, rumah yang terjejas mengalami pelbagai kerosakan antaranya atap yang rosak dan perlu diganti baharu.

“Jadi saya minta perhatian daripada pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk membantu mempermudahkan urusan dari segi peruntukan untuk dibaiki semula rumah-rumah ini.

“Saya mengharap kementerian melihat dari segi macam mana kita hendak membaiki rumah-rumah ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online selepas melakukan operasi pembersihan rumah yang dilanda banjir di Lanchang.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang banyak memberikan bantuan pembersihan dan barangan asas kepada mangsa banjir terutama di Temerloh.

“Saya hendak ucapkan tahniah dan terima kasih juga kepada badan bukan kerajaan daripada seluruh negara yang datang membantu kita termasuk PAS.

“Alhamdulillah, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pun datang membersihkan kawasan di Kampung Dala Tahfiz yang di situ merupakan kawasan yang paling teruk dilanda banjir,” katanya lagi. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.