Op Murni Diteruskan Sehingga Berakhir Tengkujuh – Ismail Sabri

KUANTAN, 11 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meneruskan Op Murni bagi membantu mangsa banjir sehingga berakhir musim tengkujuh yang dijangka pada Mac ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata fasa seterusnya operasi berkenaan akan membabitkan tugas pascabanjir seperti membantu mangsa banjir kembali ke kediaman mereka dan pembersihan tempat awam.

“Ada dua fasa iaitu fasa pertama kita membantu memindahkan mangsa banjir, mengangkut barangan dan menghantar bekalan ke kawasan yang terputus hubungan dengan menggerakkan pelbagai aset dan anggota yang dijalankan ketika ini.

“Antara aset yang digerakkan ialah helikopter dan pelbagai aset lain bagi membantu menghantar bantuan,” katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Mat Kilau di sini, malam tadi.

Terdahulu, Ismail Sabri melawat dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang 2, Kelantan, dan SK Bukit Mentok, Kemaman, Terengganu.

Beliau berkata pada fasa kedua Op Murni, ATM akan membuat penyelarasan dengan Pusat Pengurusan Banjir Daerah bagi menawarkan khidmat pascabanjir.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota ATM yang terbabit dalam Op Murni kerana berkorban masa dan tenaga untuk mangsa banjir.

Ismail Sabri berkata penghargaan juga harus diberikan kepada anggota Kem Batu 3 Temerloh kerana kem berkenaan turut dinaiki air akibat banjir, namun anggota di sana masih komited terlibat dalam Op Murni.

Selasa lepas, media melaporkan ATM mula mengatur gerak seramai 4,983 pegawai dan anggota berserta 1,015 aset dalam Op Murni bagi membantu mangsa-mangsa banjir di enam negeri yang terjejas teruk iaitu Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.