MoU GRS: UMNO Hormati Keputusan Sabah, Keabsahannya Di PAU – Ahmad Zahid

PULAU PINANG, 11 Jan – UMNO menghormati keputusan parti-parti politik di Sabah untuk memperkukuhkan gabungan mereka di negeri tersebut, ujar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, inisiatif tersebut menyerupai Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah didaftarkan di Sarawak.

“Namun komponen UMNO Sabah ada di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Oleh kerana UMNO Sabah telah diberikan kuasa autonomi, Pengerusi UMNO Sabah (Datuk Seri Bung Moktar Radin) harus mengemukakan cadangan untuk mereka menyertai, memperkuatkan GRS apatah lagi memegang jawatan-jawatan utama di dalam GRS, harus diperbincangkan di peringkat biro politik dan Majlis Kerja Tertinggi.

“Namun, tindakan yang dilakukan oleh mereka itu harus dihormati,” ujarnya kepada UMNO Online.

Tambah Ahmad Zahid, perkara berkenaan juga perlu dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO untuk menentukan keabsahannya.

“Walaubagaimanapun kita bawa perkara ini dan pada 31 Januari apabila Perhimpunan Agung UMNO (PAU) turut melantik jurucakap dari negeri-negeri, wakil negeri Sabah diharap dapat juga memperjelaskan rasional penyertaan mereka dalam GRS.

“…harus juga memasukkan usul GRS itu untuk mendapat keabsahan daripada Perhimpunan Agung UMNO,” ujar Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Sebelum itu, Ahmad Zahid melakukan ziarah kasih di dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, yang turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO dan BN, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Sabtu lalu, parti-parti politik yang membentuk GRS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, BN dan UMNO Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pas Sabah, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MIC Sabah dan MCA Sabah.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi Bersatu negeri dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa GRS manakala Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi UMNO/BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Timbalan Pengerusi I. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.