Identiti UMNO Jaga Kebajikan Rakyat… Bukan Pentingkan PRU – Shahril

TEMERLOH, 11 Jan – UMNO merupakan sebuah parti yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat apatah lagi ketika ini rakyat terhimpit dengan bencana banjir dan penularan pandemik COVID-19.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata walaupun ada segelintir pihak mengkritik UMNO hanya pentingkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semata, namun menurutnya semua itu hanyalah mitos.

“Bagi saya ada sedikit salah faham dan kekeliruan berkenaan desakan PRU-15. UMNO dari awal lagi pada hujung ayat itu akan sebut, bergantung atau tertakluk kepada situasi COVID-19.

“Jadi tidak pernah pun UMNO kata secara mutlaknya, tak kisah la keadaan banjir ke, COVID-19 ke, UMNO nak PRU-15. UMNO tidak akan pernah bersikap sebegitu,” katanya.

Tegas Shahril, masyarakat tidak perlu mendengar kritikan yang tidak membina sebegitu, ini kerana fokus parti kini adalah membantu rakyat yang berdepan kesukaran.

Menurutnya, ketika banjir melanda di sesetengah negeri, para pemimpin UMNO sudah mula menyampaikan bantuan seperti pembersihan rumah dan sumbangan keperluan asas.

“Kita buat kerja amal seperti ini sudah turun-temurun, dan ini antara identiti UMNO yang betul-betul kita berpegang.

“Jadi perkara ini akan dilakukan berterusan, lawan kita atau orang lain akan cuba menyangkal… cuba memperkecil sumbangan kita dalam perkara-perkara kebajikan,” katanya ketika ditemui UMNO Online selepas melakukan operasi pembersihan rumah yang dilanda banjir di Lanchang, hari ini.

Menurutnya lagi, walaupun parti ini dilemparkan kata negatif namun kerja-kerja kebajikan terus dijalankan seperti biasa untuk mengurangkan kesempitan yang dihadapi oleh mangsa banjir.

Dalam hal itu, Shahril berkata UMNO bukanlah parti yang hanya mementingkan diri sendiri semata-mata atau hanya fokus untuk mencapai cita-cita politik.

Ujarnya, telah banyak sikap tolak ansur yang ditunjukkan parti untuk memastikan negara mencapai kestabilan terutamanya dalam ekonomi.

“Mana mungkin kalau UMNO ini terlalu ego, kalau UMNO ini terlalu pentingkan diri bagaimana pula UMNO boleh mengangkat Perdana Menteri daripada parti yang lain.

“Itu buktinya apa… buktinya UMNO bukan hanya pentingkan diri. UMNO pentingkan negara, tambahnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.