Skuad Sabil Pemuda UMNO Turut Bantu Bersihkan Rumah Ibadah Bukan Islam – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Skuad Sabil Pergerakan Pemuda UMNO hari ini bukan sahaja menghulurkan bantuan dan menawarkan khidmat membersihkan tempat-tempat ibadah Islam malah rumah ibadah bukan Islam.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keterbukaan Islam menggariskan agar umatnya saling bantu membantu antara satu dengan yang lain.

“Prinsip menolong atas dasar taqwa dan kebajikan sebagaimana saranan Allah tidak menghalang kita membantu orang bukan Islam. Malah keterbukaan Islam jualah yang menggariskan keperluan untuk umat Islam menolong jika bukan Islam mengalami kesusahan termasuk membantu membaik-pulih tempat ibadah mereka atas dasar menghormati kepercayaan dan agama lain.

“Atas semangat dan prinsip inilah Skuad Sabil Pergerakan Pemuda UMNO menghulurkan bantuan dan menawarkan khidmat bukan sahaja membersihkan tempat-tempat Ibadah umat Islam seperti Masjid dan Surau malah rumah ibadah bukan Islam seperti Tokong Cina yang mengalami kerosakan dan kekotoran teruk akibat banjir besar melanda di Kota Tinggi Johor ini,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Tambah Dr Asyraf lagi, beliau mengharapkan agar segala kebajikan yang diberikan oleh pasukan skuad sabil sentiasa di rahmati Allah swt.

“Moga Allah memperkirakan setiap keringat yang tumpah sebagai kebajikan yang memperoleh redha dan ganjarannya jua,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.