Presiden UMNO Bertemu Pimpinan Bahagian, Proaktif Beri Penjelasan Isu Semasa

ALOR SETAR, 10 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata hasil dari pertemuan bersama Ketua-ketua UMNO Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Selasa lalu, beliau mengambil langkah proaktif memberi penjelasan mengenai isu-isu semasa ke peringkat akar umbi.

Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, pertemuan itu akan dilaksanakan di seluruh negara dan bermula bersama kepimpinan peringkat bahagian di negeri Kedah.

“Ia berikutan dari perjumpaan dengan Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara pada 5 Januari (Selasa) lalu. Oleh kerana konvensyen UMNO tidak dapat dilakukan di peringkat negeri sebelum Perhimpunan Agung UMNO maka saya bertemu dengan pimpinan di peringkat bahagian di setiap negeri terutamanya anggota biro politik di peringkat bahagian yang berkenaan.

“Dan ini adalah untuk memberi penjelasan terhadap usul-usul yang telah dikemukakan Mesyuarat Perwakilan Bahagian-bahagian bersama-sama dengan sayap dan juga keputusan yang telah diterima dari usul yang telah dikemukakan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi.

“Dan selanjutnya saya telah menjelaskan bahawa itu akan ditapis dan akan digunakan untuk diperbahaskan dan dimasukkan dalam usul ucapan dasar presiden Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari nanti, Insya-Allah,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian sebaik selesai melakukan ziarah kasih di Taman Wira Mergong, di sini, Sabtu petang.

Sebelum itu, Ahmad Zahid telah mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan UMNO Bahagian-bahagian dari seluruh negeri Kedah di Bangunan UMNO negeri, di sini.

Untuk rekod, Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada Rabu lalu telah memperhalusi semua usul yang dibangkitkan oleh 189 Bahagian-bahagian UMNO yang telah bersidang di seluruh negara pada 1 hingga 3 Januari lepas kecuali Bahagian Tanah Merah yang digantung dan Tuaran bersidang semalam.

Antara usul-usul utama yang dibangkitkan oleh majoriti besar UMNO Bahagian-bahagian ialah mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina ketika 22 bulan bersama-sama sebagai pembangkang.

Begitu juga usul memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan menggesa supaya PRU-15 dapat diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, tertakluk kepada keadaan COVID-19. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.