Betulkan Persepsi … UMNO Adalah Parti Yang Dahulukan Rakyat – Shahril


KUALA SELANGOR, 10 Jan – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menegaskan bahawa UMNO adalah parti yang sentiasa mendahulukan rakyat kerana agenda yang lebih besar parti adalah berkaitan keutamaan rakyat.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata demikian kerana menolak andaian, persepsi dan spekulasi yang mengatakan bahawa UMNO rakus, ego dan pentingkan kuasa apabila meminta Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan segera.

“Pertama saya ingatkan bahawa kalau UMNO gila kuasa, rakus, ego dan hanya pentingkan diri sendiri tanpa pentingkan orang lain, tak pentingkan rakyat maka mana mungkin ahli-ahli Parlimen UMNO yang lebih ramai daripada parti lain akan mendukung perdana menteri yang datang dari parti lain.

“Misalnya walaupun ada perkara yang kita tak minat tentang belanjawan pun tapi kita masih mendukung kerana kita tahu ada agenda rakyat itu jauh lebih penting daripada apa-apa ego, ataupun emosi dalam parti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program penerangan isu-isu semasa di Dewan Tan Sri Abu Hassan Omar melibatkan UMNO Bahagian Kuala Selangor dan UMNO Bahagian Tanjung Karang di sini, semalam.

Shahril juga menekankan bahawa UMNO meminta pilihan raya diadakan tetapi bergantung kepada suasana semasa khususnya berkaitan COVID-19.

“Saya nak ingatkan adalah bila mana UMNO berkata bahawa kita nak kembalikan mandat kepada rakyat contohnya, kita juga nyatakan bahawa ini semua tertakluk kepada situasi semasa khususnya situasi COVID-19… jadi tak adalah UMNO ini terlalu mutlak sangat kata macam mana pun nak juga PRU tanpa kita kira apa yang berlaku dalam negara negara kita… tidak… UMNO tidak begitu, pemimpin UMNO tidak begitu.

“Insya-Allah walaupun kita ada maruah, walaupun kita ada kepentingan kita sebagai parti tetapi kita tahu kepentingan negara mengatasi dan kita boleh pertimbangkan perkara-perkara dan faktor-faktor lain dalam membuat keputusan kita.”

Ujarnya, tuduhan kepada UMNO ini dari dulu lagi memang ada dan sentiasa akan berlaku.

“Jadi kita kena terimalah realiti politik, kerja kita sebagai penerangan, sebagai UMNO adalah perbetul supaya apabila persepsi negatif itu muncul maka kita balik kepada situasi sebenar kerana bukan kita mereka-reka dan memang sebenar-benarnya UMNO sentiasa mendahulukan rakyat.

“Sebenar-benarnya apabila banjir berlaku maka UMNO yang pening kepala macam mana nak turun membantu, apabila COVID-19 melanda… UMNO boleh tengok balik pendiriannya untuk desak supaya PRU diadakan segera… perkara-perkara ini semua dipertimbangkan dan UMNO tidaklah satu parti yang terlalu jumud, yang hanya fikir tentang perkara-perkara untuk dirinya sendiri tanpa memikirkan rakyat iaitu agenda yang lebih besar,” tegasnya lagi.

Terdahulu beliau telah mengadakan perjumpaan bersama-sama ahli jawatankuasa empat peringkat melibatkan UMNO Bahagian Sungai Besar dan UMNO Bahagian Sabak Bernam yang kemudiannya diikuti program bual bicara bersama Pemuda UMNO Kuala Selangor.

Dalam pertemuan terbabit, beliau meminta anggota jentera penerangan di semua peringkat untuk menyampaikan hal yang sebenar kepada anggota akar umbi dan rakyat keseluruhan.

“Saya ambil keputusan untuk turun berjumpa dengan beberapa bahagian hari ini sebagai kelangsungan jelajah yang dilaksanakan walaupun kekangan COVID-19, PKP dan SOP yang ketat tapi saya kira penting apatah lagi dengan sedikit kekeliruan yang melanda bukan hanya UMNO tetapi sistem politik secara keseluruhan.

“Ini penting supaya akar umbi mendapat penerangan yang lebih khusus dan boleh kongsi kepada orang ramai berkaitan UMNO,” ujarnya lagi.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang di samping Ketua-ketua UMNO Bahagian yang lain. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.