MKT Terima Usul Bahagian, Keabsahannya Di Perhimpunan Agung UMNO – Ahmad Zahid

ALOR SETAR, 9 Jan – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Rabu lalu menerima usul-usul dari bahagian termasuk usul menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Usul itu dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada 6 haribulan lalu dan kita telah memutuskan untuk menerima usul-usul itu dan kita akan melakukan keabsahan pada 31 haribulan Januari ini di dalam Perhimpunan Agung UMNO.

“Setakat ini keputusan Majlis Kerja Tertinggi adalah menolak (kerjasama) tetapi keputusan terakhir, keabsahan itu pada 31 Januari yang akan dimasukkan dalam usul ucapan dasar presiden UMNO,” ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan UMNO Negeri Kedah di Bangunan UMNO negeri, di sini hari ini.

Sebelum itu, Ahmad Zahid berkata pertemuan yang diadakan adalah bagi menggantikan konvensyen yang diadakan di setiap negeri menjelang Perhimpunan Agung UMNO seperti sebelum ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengingatkan agar kepimpinan dan akar umbi UMNO dapat memperkukuhkan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).

Untuk rekod, selain usul tersebut, antara usul-usul utama yang dibangkitkan oleh majoriti besar Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian yang bersidang pada 1 hingga 3 Januari lalu ialah mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional.

Begitu juga menggesa supaya PRU15 dapat diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, tertakluk kepada keadaan COVID-19.

Ketika ditanya, Ahmad Zahid juga bersetuju dengan kenyataan dari Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menasihati mana-mana pemimpin agar tidak membuat kenyataan secara terbuka mengkritik antara satu sama lain dan parti mempunyai saluran yang tersendiri.

“Saya bersetuju dengan apa yang dinyatakan oleh Tok Det (Mahdzir Khalid) itu. Dan ini seharusnya menjadi pegangan kepada semua lapisan kepimpinan dan akar umbi.

“Sebagai sebuah organisasi parti politik, tentunya pemikiran yang senada dan satu suara adalah perkara yang menjadi amat penting di dalam mana-mana organisasi terutamanya UMNO harus juga berpegang kepada prinsip yang dinyatakan oleh Tok Det itu,” tegasnya.

Sebaik selesai majlis pertemuan tersebut, Ahmad Zahid turut meluangkan masa melakukan ziarah kasih di Taman Wira, di sini. – UMNO ONLINE