Kerajaan Perlu Bantu Tangani Banjir … Selesaikan Isu Ini Segera – Ahmad Maslan

SLIM, 9 Jan – Kerajaan perlu bertindak bagi menangani masalah banjir yang seringkali melanda negara dan perlu diselesaikan dengan kadar segera, itu luahan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, kerajaan perlu aplikasi cadangan pakar dalam bidang alam sekitar yang memberikan kaedah-kaedah tertentu untuk menggelakkan bencana banjir ini terjadi secara berterusan.

“Cuma saya melihat isu banjir ini isu besar negara, banjir setiap tahun.

“Oleh kerana kita ini ada ramai pakar penyelidik, antaranya pakar penyelidik komunikasi strategi, jadi sudah tentu ada pakar-pakar banjir yang berpengalaman.

“Mereka ini mesti tahu kaedah untuk menyelesaikan masalah banjir di satu-satu kawasan, sekalipun dah dijangka banjir ini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut berkongsi kaedahnya untuk menangani masalah banjir yang dihadapi di kawasan beliau.

Beliau berkata antara cara yang dilakukan adalah meluaskan ke dalam dan meluruskan sungai-sungai yang terdapat di kawasan yang seringkali terjejas dengan banjir.

Tambahnya, walaupun perbelanjaan tersebut menelan kos yang tinggi namun tiada lagi banjir besar yang melanda di kawasan Parlimen Pontian.

“Apa yang berlaku di kawasan Benut dan Pontian, sebelum ini banjir. Hujan yang sangat lebat, sampaikan atas jalan raya, kalau ada bantuan, motorbot bomba pun ada atas jalan raya. Punya la banjir teruk.

“Tapi baru-baru ini, bukan saya hendak masuk bakul angkat sendiri, cuma lapan keluarga sahaja terlibat dalam perpindahan banjir.

“Kerana saya betul-betul minta kepada kerajaan selesaikan masalah banjir ini empat, lima tahun yang lalu. Dengan kaedah melurus dan mendalamkan lima sungai utama di kawasan ini,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah Isu-Isu Semasa Halatuju dan Cabaran yang berlangsung malam tadi di Slim, Perak.

Antara panel yang turut hadir adalah, Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Mohd Zaidi Aziz dan Centre of Leadership dan Professional Development, Prof Madya Dr Baharuddin Aziz. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.