Bank Wajar Pertimbang Beri Moratorium Kepada Mangsa Banjir – Sharkar

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Exco Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyarankan agar bank-bank di negara ini memberikan moratorium selama enam bulan bayaran ansuran bulanan pinjaman selain memansuhkan caj-caj tertentu kepada pelanggannya yang menjadi mangsa banjir.

Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, penangguhan pembayaran itu perlu diberikan kepada pelanggan-pelanggan perbankan perniagaan, perbankan PKS dan perbankan yang mana terjejas ekoran musibah berkenaan.

“Ia juga termasuk pengecualian caj bagi pelanggan terjejas untuk mengganti kad ATM, buku cek, buku akaun yang musnah akibat banjir. Sebagai contoh di negeri Pahang, sehingga kini lebih 18,000 orang telah terjejas ekoran musibah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Tegas Sharkar lagi penangguhan itu diharap akan dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi mangsa banjir terlibat.

“Banyak premis perniagaan yang mana peralatan kedai mereka rosak akibat ditenggelami air banjir. Apa diharapkan, pihak bank dapat melaksanakan pemberian moratorium enam bulan ini sebagai bukti simpati dan cakna dengan nasib mangsa banjir,” ujarnya lagi.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.