Banjir: Kepimpinan UMNO Prihatin, Fokus Pastikan Rakyat Sentiasa Terbela

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Banjir yang melanda beberapa negeri sejak beberapa minggu lalu menjadi fokus utama daripada para pemimpin tempatan yang turun padang dan bersama-sama rakyat dalam berdepan musibah tersebut.

Dalam hal ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa peka dan berusaha bagi memastikan mangsa banjir di negeri tersebut mendapat keutamaan setiap masa.

Pada sesi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berlangsung pagi tadi, beliau menyampaikan peruntukan khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan yang terjejas dengan jumlah keseluruhan bernilai RM800,000.

“Sebelum memulakan mesyuarat, saya menyampaikan peruntukan khas tambahan kepada pihak-pihak berkenaan bagi menangani dan membantu mangsa-mangsa bencana banjir di negeri ini. Peruntukan tambahan keseluruhannya bernilai RM800,000.

“Kerajaan negeri akan sentiasa memantau situasi dan keadaan banjir yang berlaku di kesemua 10 daerah ketika ini,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Beliau turut mendoakan agar mangsa banjir di negeri terbabit bertabah dan mengharapkan agar situasi ini kembali pulih seperti sediakala.

Sehingga kini, mangsa banjir di negeri Pahang meningkat kepada 27,073 daripada 7,278 keluarga yang ditempatkan di 275 Pusat Penempatan Sementara (PPS) di sembilan daerah, dengan peningkatan ketara berlaku di Temerloh.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad memaklumkan walaupun negeri berkenaan mencatatkan penurunan sejak kelmarin namun beliau mengingatkan agar kesemua pihak sentiasa berwaspada.

Tambahnya, ada kawasan yang tidak pernah mengalami banjir sebelum ini namun sudah dinaiki air.

Memetik hantaran di Facebooknya, beliau berkata perkara yang paling penting adalah memastikan penduduk yang tinggal di kawasan yang dinaiki air untuk dipindahkan dengan kadar segera sekiranya air melepasi pada tahap bahaya.

“Ketika turun di beberapa daerah di Perak yang terjejas akibat banjir, saya dimaklumkan ada kawasan yang tidak pernah dinaiki air tetapi kali ini turut dilanda banjir.

“Walaupun jumlah mangsa yang ditempatkan di kawasan penempatan sementara sudah menunjukkan penurunan ketara sejak semalam, namun saya sudah meminta agar segala agensi dan jentera kerajaan yang terlibat supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi apa jua kemungkinan.

“Kita memahami keadaan mangsa yang tentunya dihimpit rasa bimbang dan sedih atas bencana yang melanda. Insya-Allah, kerajaan akan sedaya-upaya berusaha dan mencari jalan untuk membantu mereka membina semula kehidupan,” katanya.

Sejak awal pagi tadi, Perak Tengah menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan sebuah PPS di dewan orang ramai Kampung Tanjung Aur dibuka bagi menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga, menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri itu setakat 6 pagi tadi adalah 359 orang daripada 100 keluarga.

Di Johor, menteri besarnya, Datuk Ir Hasni Mohammad melawat ke beberapa kawasan yang dilanda banjir sejak beberapa hari lalu.

Antaranya di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Jaya, SMA Taman Kota Jaya, SK Taman Kota Jaya, SK Laksamana Kota Tinggi, Kolej Vokasional dan SK Laksamana Kota Tinggi.

Beliau juga memberi jaminan untuk memastikan penyediaan kemudahan asas yang lengkap serta tahap keselamatan baik.

“Kerajaan negeri akan sedaya upaya memastikan PPS dilengkapi dengan kemudahan yang cukup. Juga kebajikan keluarga-keluarga yang ditempatkan di PPS ini akan kita jaga dengan sebaiknya.

“Semoga tabah menghadapi ujian ini dan sama-sama kita berdoa agar musibah ini berlalu segera,” katanya menerusi Facebook.

Untuk rekod, sehingga pagi tadi keseluruhan mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Johor dan Sabah sudah menghampiri angka 50,000 orang. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.