Zahid Dan Pimpinan BN Santuni Mangsa Banjir… Harap Tabah Berdepan Kesukaran

RAUB, 7 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama rombongan kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang lain hari ini menyantuni mangsa banjir di beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) di dalam Daerah Raub.

Dalam lawatan berkenaan yang turut disertai Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Jawatankuasa Bencana dan Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kasim, beberapa keperluan serta sumbangan lain turut dihulurkan kepada mereka yang terlibat.

Ahmad Zahid sejurus selesai lawatan tersebut mengharapkan mangsa banjir bersabar dengan dugaan dan berdoa agar dipermudahkan segala urusan yang pastinya cukup sukar untuk dilalui oleh mereka.

“Jawatankuasa bencana dan Kebajikan UMNO hari ini berkesempatan untuk ke Raub melawat beberapa pusat penempatan sementara dan insya-Allah Datuk Seri Shahidan akan pergi ke daerah-daerah lain di negeri Pahang yang terkesan ini dan insya-Allah UMNO Malaysia akan terus membantu.

‘’UMNO amat bersimpati dan prihatin terhadap nasib yang menimpa mangsa-mangsa banjir dan saya berdoa agar dipermudahkan dan cekal menghadapi ujian daripada Allah swt. Kita mendoakan Allah swt mempermudahkan ujian yang menimpa mereka hari ini ini,’’ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bencana dan Kebajikan UMNO Datuk Seri Shahidan Kasi pula berkata ketua-ketua bahagian UMNO hari ini berada di lapangan dan jawatankuasa bencana akan meneliti untuk proses seterusnya iaitu pasca banjir.

“Kita akan bersama Skuad Sabil melihat soal ini termasuklah Skuad Sayang dan sebagainya untuk fasa yang seterusnya. Saya galakkan semua pihak terlibat dalam proses ini untuk membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir ini,” ujarnya.

Terdahulu Ahmad Zahid dan rombongan melawat dan menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa pusat penempatan sementara iaitu SK Kuala Dong, Masjid Gesing, Kuala Semantan dan beberapa kawasan lain.

Ahmad Zahid dan rombongan yang lain turut makan tengahari bersama penduduk dan mangsa banjir dengan masing-masing berkongsi pengalaman ketika menghadapi musibah berkenaan sejak beberapa hari yang lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.