Jangan Terpengaruh Anasir Buruk, Tukar SUA Perkara Biasa Demi Mantapkan Parti – Exco Wanita
KUALA LUMPUR, 7 Jan – Pertukaran jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini disandang oleh Tan Sri Annuar Musa kepada lantikan baharu, Datuk Seri Ahmad Maslan adalah suatu kelaziman yang diamalkan oleh parti.
Perkara itu dikongsikan oleh Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraslina Zainal Abidin yang mengakui lantikan tersebut adalah sesuatu tindakan yang biasa dan bertujuan untuk memantapkan parti.
“Bukan perkara baharu berkenaan pertukaran atau lantikan dalam BN. Baru-baru ini pun kita ada pertukaran Bendahari Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor digantikan dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
“Jadi ini adalah satu perkara yang normal, yang biasa dilaksanakan di semua organisasi, bukan hanya BN sahaja.
“Soal diganti atau pelantikan baharu ini adalah biasa, yang jelas tindakan untuk memantapkan parti,” katanya ketika dihubungi oleh UMNO Online.
Sementara itu, Noraslina turut mendedahkan bahawa beliau ada berjumpa dengan presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan isu ini bagi mendapatkan penjelasan.
Menurutnya, Ahmad Zahid berkata pertukaran bagi jawatan Setiausaha Agong BN itu telah dibincangkan bersama presiden-presiden dalam parti komponen.
“Semalam, presiden ada memaklumkan kepada saya bahawa persetujuan melantik Datuk Seri Ahmad Maslan dilakukan secara lisan dan ia akan dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN untuk disahkan.
“Kita dimaklumkan pelantikan itu telah mendapat persetujuan dan ianya secara jelas adalah mengikut Perlembagaan BN.
“Asalkan pelantikan ini mengikut Perlembagaan BN maka tidak akan menyalahi apa-apa. Sudah pasti beliau ada sebab-sebab tertentu untuk melakukan pertukaran dan ianya tidak lain untuk kebaikan parti juga,” tegasnya.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Sembrong itu juga turut mengingatkan kepada ahli UMNO supaya tidak terpengaruh dengan anasir yang cuba memburuk-burukkan keadaan.
Menurutnya, pengukuhan dalam parti perlu dilakukan untuk membantu rakyat mendepani krisis ekonomi akibat penularan wabak COVID-19 dan bencana alam.
“Agenda utama adalah untuk membela rakyat, terutama sekali apabila sekarang kita berhadapan dengan COVID-19, banjir dan kemelesetan ekonomi.
“Kepada ahli UMNO jangan cepat terpengaruh, jangan kita bergolak sesama kita, sekarang ini masa untuk penyatuan dan memperkukuhkan parti UMNO dan juga BN.”
Untuk rekod, pada 17 Mac lalu Mesyuarat Dewan Tertinggi BN melantik Tan Sri Annuar Musa sebagai setiausaha agung bagi menggantikan penyandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Sebelum itu pada itu pada 8 Mac 2019, BN bertindak mengekalkan ahli Parlimen Putrajaya itu sebagai setiausaha agung walaupun dikatakan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memegang jawatan tersebut.
Bagaimanapun, Majlis Tertinggi BN memutuskan untuk menolak pelantikan Ahli Parlimen Padang Rengas itu sebagai Setiausaha Agung kerana tidak mengikut perlembagaan. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib