i-Sinar Atau i-Sedih… KWSP Perlu Segera Tampil Jelaskan Kekecewaan Rakyat

JOHOR BAHRU, 7 Jan – Isu pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau dikenali i-Sinar yang menimbulkan kekecewaan banyak pihak terus mendapat perhatian ramai.

Kali ini Wanita UMNO Johor Bahru turut tampil menyatakan mengenai rungutan yang diterima daripada masyarakat umum berkaitan soal berkenaan yang rata-rata menimbulkan kemarahan kerana permohonan masing-masing ditolak setelah dibuka pendaftarannya sebelum ini.

Ketuanya Sa’adiah Hussin berkata pihaknya banyak menerima rungutan daripada masyarakat yang cukup kecewa dengan apa yang berlaku sekarang ini.

“Wanita UMNO Johor Bahru banyak menerima keluhan rakyat yang hampa kerana permohonan mereka ditolak KWSP.

“Mana janji KWSP dan Kerajaan untuk mempermudahkan urusan rakyat dalam mengeluarkan duit simpanan mereka sendiri?” katanya menerusi catatan di facebooknya.

Soal beliau lagi dimanakah janji kerajaan yang memberi jaminan, bahawa isu KWSP tanpa syarat atau kriteria masih boleh dirundingi ketika mahu Bajet 2021 yang diluluskan di Parlimen sebelum ini.

Jelasnya rakyat tidak akan marah dan menuntut jika bukan kerana situasi mendesak ketika ini, khususnya tatkala Pandemik COVID-19 yang benar-benar memberi kesan terhadap kelangsungan hidup mereka.

“Wanita UMNO Johor Bahru mendesak agar KWSP tampil segera memberikan penjelasan mengenai isu ini apabila ramai yang mendakwa ditolak permohonan mereka untuk i-Sinar ini,” ujarnya lagi.- UMNO Onine

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.