Pemuda UMNO, Anggota Skuad Sabil Bantu Musibah Banjir Di Pahang, Johor, Terengganu

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Skuad Sabil Kebangsaan akan mula mengerahkan 2,000 anggota sukarelawan Skuad Sabil daripada seluruh negeri-negeri di Semananjung Malaysia untuk turun membantu mangsa-mangsa banjir di tiga negeri yang terjejas teruk terutamanya Pahang, Johor dan Terengganu.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan gerak kerja sukarelawan Skuad Sabil ini akan diselaraskan bersama dengan Pemuda UMNO negeri dan Skuad Sabil Negeri memandangkan Skuad Sabil Negeri juga terlibat dalam Jawatankuasa Bencana Kerajaan di peringkat Negeri khususnya Pahang dan Johor.

“Antara fokus gerak kerja termasuklah untuk membantu kerja-kerja sukarela di Pusat-pusat pemindahan Banjir, kerja-kerja pembersihan pasca banjir termasuk tempat-tempat awam seperti sekolah, masjid, rumah-rumah ibadah, balai raya dan rumah mangsa-mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun facebooknya.

Dalam masa yang sama, beliau juga mengalu-alukan sebarang sumbangan orang ramai untuk membantu kerja-kerja amal kebajikan Skuad Sabil dan Sukarelawan Pemuda UMNO Malaysia.

Sumbangan anda boleh disalurkan ke akaun:

PEMUDA UMNO MALAYSIA
CIMB BANK BERHAD
8000632311

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.