Demi Rakyat, UMNO Tawau Siap Sedia Berdepan Apa Juga Cabaran – Ghazalie Ansing

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing memaklumkan bahawa anggota parti telah siap sedia berdepan apa-apa juga cabaran termasuklah  Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 demi pembelaan rakyat.

Dalam hal ini, beliau memaklumkan bahawa melalui persidangan UMNO Bahagian Tawau, usul mencadangkan agar kerusi Parlimen Tawau dapat diserahkan kepada UMNO. 

“Ini adalah masanya untuk UMNO tuntut semula kerusi Parlimen Tawau dan harus diberikan kepada calon UMNO kerana sekian lama UMNO tidak bertanding di kerusi ini. Kalau diberikan peluang UMNO untuk bertanding di Parlimen ini kita akan lawan untuk mendapatkan kemenangan.

“Pada PRU lalu, kerusi Parlimen ini diberikan kepada parti komponen iaitu PBS. Kalau ikut peratusan pengundi Melayu dan Bumiputra Islam kita merupakan majoriti dalam kerusi tersebut.

“Kita juga telah menyusun semua jentera di peringkat cawangan-cawangan, PDM-PDM serta zon-zon di Tawau dan semuanya sudah bersiap sedia. Setakat ini Alhamdulillah… 100 peratus bersedia dan menunggu bila gendang pilihan raya dipukulkan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Dalam pada itu, tambah Ghazalie lagi merasa cukup terkilan apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak memberikan peluang kepada pengeluaran akaun 1 Kewangan Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat dan moratorium dilanjutkan.

“Saya sebagai pemimpin UMNO Bahagian Tawau selaku rakyat Malaysia amat terkilan dan menerima banyak rungutan serta aduan daripada ahli-ahli UMNO dan rakyat di Tawau khususnya mereka mahukan pengeluaran akaun 1 KWSP dikeluarkan tanpa syarat dan juga lanjutan moratorium.

“Kita lihat syarikat pengusaha bas di Tawau khasnya dan juga di seluruh Sabah amnya amat terkesan mengenai tindakan kerajaan yang tidak melaksanakan dan menyambung moratorium tersebut,” katanya.

Dalam pandemik COVID-19, pengusaha bas terpaksa membayar hutang-hutang tersebut yang mana keadaan ekonomi dan perniagaan mereka tidak dapat berjalan seperti biasa dan ini amat jelas menekan ekonomi rakyat hari ini, tegasnya. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.