Banjir: Puteri UMNO Gerak Misi Turun Padang Bantu Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Pergerakan Puteri UMNO tidak ketinggalan turun padang bagi membantu rakyat dalam menghadapi musibah banjir yang melanda negara sekarang ini.

Kali ini, rombongan yang diketuai Datuk Zahida Zarik Khan berkesempatan ke Kota Tinggi dalam misinya untuk memberikan kata-kata semangat kepada mangsa yang berdepan dengan ujian berkenaan.

“Sambungan cerita semalam di Johor. Selesai di Tenggara kami ke Kota Tinggi pula untuk sampaikan selimut, bekalan makanan dan sedikit wang belanja kepada manga banjir di Kampung Perpat Mukim Kambau,” kata Zahida menerusi hantaran di Facebooknya.

Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa simpati kepada warga emas yang berdepan kesukaran kerana terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara banjir.

“Semoga semua tabah hadapi ujian, dan didoakan keadaan segera pulih seperti sebelumnya.

“Insya-Allah marilah kita sama mendoakan tiada gelombang kedua dan seterusnya,” katanya.

Semalam, sayap UMNO itu turut memberikan bantuan di pusat pemindahan mangsa di Tenggara.

Zahida berkata, kawasan tersebut mempunyai tiga sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara antaranya di  Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kota Jaya yang menempatkan 207 mangsa manakala Sekolah Menengah Agama Taman Kota Tinggi 249 mangsa dan Sekolah Kebangsaan Taman Kota Jaya 387 mangsa.

“Lokasi pertama yang kami sampai adalah pusat pemindahan mangsa banjir di Bahagian Tenggara.

“Terima Kasih Nur Ain A. Rahman, Ketua Puteri UMNO Johor dan Nur Adibah Sapar, Ketua Puteri UMNO Bahagian Tenggara yang sentiasa memantau rapat kebajikan mangsa banjir di sini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.