UMNO: Usul Dari Mesyuarat Bahagian Dipertimbang J/Kuasa Usul Parti – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Usul menolak kerjasama politik dengan Bersatu adalah antara yang dicadangkan oleh UMNO bahagian bagi dipertimbangkan Jawatankuasa Usul parti untuk dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO akhir bulan ini, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata terdapat usul lain dikemukakan seperti menolak kerjasama dengan DAP dan PKR, ‘No DAP No Anwar’ serta usul memperkukuh kerjasama dengan PAS dan Muafakat Nasional.

“Banyak usul bukan hanya satu, usul di bahagian akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti dan MT akan serahkan usul kepada pengerusi jawatankuasa usul yang akan melihat usul itu untuk dibincang dan diserah kepada jawatankuasa,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan di sini.

Beliau berkata UMNO mempunyai perlembagaan dan peraturan jelas sewaktu mesyuarat perwakilan bahagian, maka ahli bebas dan berhak menyuarakan pandangan mengenai parti.

Pada Ahad, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional, berkata MT UMNO akan membuat ketetapan berhubung kerjasamanya dengan Bersatu esok selepas 143 daripada 191 UMNO bahagian bersetuju dengan usul menolak bekerjasama dengan parti itu pada pilihan raya umum akan datang. – BERNAMA