SOP Dipatuhi, 189 Bahagian Selesai Bersidang – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bersyukur kerana mesyuarat perwakilan UMNO bahagian bagi empat peringkat yang melibatkan Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO telah dilaksanakan dengan baik.

Ujarnya, sekitar 756 persidangan diadakan sepanjang tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lalu dan 189 bahagian selesai menyempurnakannya.

“Syukur berjalan dengan baik. Tiada laporan ‘Kluster UMNO’ COVID-19 berlaku setakat ini. SOP (prosedur operasi standard) telah dipatuhi,” ciap Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian di Twitternya.

Tambahnya lagi, usul-usul dari bahagian juga sedang dikumpul untuk tindakan parti dan kerajaan.

“Usul-usul sedang dikumpul. Ada usul parti, ada berkait kerajaan,” katanya.

Untuk rekod, akibat pandemik COVID-19, mesyuarat perwakilan bahagian bagi tahun 2020 telah ditangguhkan ke tarikh 1, 2 dan 3 Jan lalu manakala Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 30 dan 31 Jan ini.

Kehadiran bagi persidangan empat peringkat itu adalah secukup korum, iaitu minimum satu perempat daripada jumlah wakil yang berhak hadir.


Selain itu, juga dibenarkan diadakan mesyuarat secara maya bagi kawasan zon merah terutama yang melibatkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Antara lain SOP bagi menjalankan mesyuarat tersebut ialah memastikan kehadiran direkodkan sama ada melalui aplikasi MySejahtera mahupun secara bertulis, tidak mempunyai masalah kesihatan, wujud penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, tidak berasak-asak dan tidak bersalaman sebagaimana aturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselematan Negara (MKN). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.