Perkukuh UMNO Demi Rakyat… Pembangunan Tertangguh 22 Bulan Bakal Kembali – Shahrul Zaman

BAGAN DATUK, 4 Jan – Naib Ketua UMNO Bagan Datuk, Datuk Shahrul Zaman Yahya menyetujui saranan diberikan oleh Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengharapkan adanya sinar baharu bakal terpancar semula demi rakyat yang dahagakan pembangunan selepas terhenti 22 bulan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Katanya, sebagaimana di Bagan Datuk yang pembangunannya telah dirancang dan dilaksanakan oleh Ahli Parlimennya iaitu Zahid telah dihentikan malah ada yang dibatalkan apabila PH mengambil alih.

“Kita sememangnya dahagakan pembangunan, syukur Alhamdulillah … semasa Datuk Seri (Zahid) menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, beliau telah membawa banyak projek pembangunan di Daerah Bagan Datuk ini namun takdir telah menentukan pertukaran kerajaan ini.

“Sebanyak 52 peratus daripada projek-projek yang diluluskannya telah ditarik semula peruntukan. Namun kita berharap ia dapat dikembalikan apatah lagi pihak kerajaan negeri yang sekarang ini diterajui oleh UMNO dan dapat melihat semula aspek pembangunan di dalam daerah Hilir Perak ini.

“Sebagai contoh, kita masih tidak ada lagi kompleks pentadbiran daerah, pentadbiran Persekutuan yang ada dimana-mana daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah, Hospital Daerah dan banyak lagi insfrastuktur dan kemudahan di Hilir Perak. Kebanyakannya menumpang dan tidak ada tempat yang tetap sedangkan kita telah menjadi daerah yang ke-12 dalam negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh UMNO Online.

Shahrul yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor merayu kepada kerajaan Negeri Perak agar Bagan Datuk mendapat insfrastuktur yang sewajarnya.

“Sebagai exco yang bertanggungjawab sudah tentulah saya akan cuba membawa sebanyak mungkin pembangunan terutamanya dalam aspek industri, pelaburan dan koridor ke daerah Bagan Datuk ini.

“Oleh kerana itu kita merayu kepada kerajaan negeri dan saya akan membawa hasrat rakyat Bagan Datuk supaya mendapat insfrastuktur pembangunan yang sewajarnya sesuai dengan status Bagan Datuk sebagai daerah ke-12 di negeri Perak,” ujarnya.

Tambah Shahrul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, permasalahan yang paling besar di Bagan Datuk adalah ‘jalan mati’ iaitu tiada jalan hubungan antara daerah lain.

“Walaupun kami berada di Hilir Perak tetapi seumpama kita ini lebih daripada Hulu Perak. Dengan adanya Lebuhraya Persisiran Pantai Pantai Barat (WSE) yang dihubungkan ke Bagan Datuk melalui jambatan, ianya dapat menjimatkan masa perjalanan,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.