Ke Arah PRU15, UMNO Perlu Kembali Memimpin Kerajaan Dan Politik Negara

KLUANG, 5 Jan – Perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dua tahun lalu menuntut UMNO untuk melakukan transformasi dan pembaharuan.

Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkata, antara perubahan perlu dilakukan ialah dari segi pendekatan, nilai dan sikap kepimpinan demi memulih serta memperkukuhkan kepercayaan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“UMNO bukan parti yang dominan dalam kerajaan, maka kita tidak boleh menentukan dasar secara bersendirian, termasuklah dalam menentukan lantikan jawatan dalam masyarakat seperti ketua kampung, ahli majlis dan lain-lain, walaupun pada hakikatnya UMNO adalah penggerak aktiviti masyarakat di kampung, di taman, di rumah pangsa dan lain-lain.

“Dalam negara ini, parti politik yang berasaskan satu kaum tidak diterima kerana kemerdekaan dan pembinaan negara adalah berasaskan kepelbagaian kaum dan agama. Oleh itu, UMNO perlu mengekalkan konsep kesederhanaan yang mengambil kira perihal kaum dan agama lain, seperti mana ketika memimpin Barisan Nasional (BN).”

“Naratif UMNO seharusnya memperkukuhkan semula BN di samping meneroka hubungan baharu dengan parti-parti lain melalui Muafakat Nasional,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kluang baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, katanya, UMNO perlu kembali kepada landasan yang asal sebagai parti yang berfahaman sederhana.

“UMNO bukan sahaja mempunyai pengalaman membangunkan negara, tetapi juga perlu meneruskan sikap sentiasa mendengar keluhan serta pandangan rakyat.

“Denyut nadi rakyat telah serik dengan kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengurus kerajaan di samping tidak ada kesefahaman sesama mereka, justeru mengharapkan semula UMNO/BN untuk kembali, namun, saya memberikan tiga syarat untuk UMNO kembali memimpin kerajaan dan politik negara.

“Pemimpin UMNO tidak boleh bertelingkah sesama sendiri, sama ada kepimpinan peringkat tertinggi, peringkat negeri, bahagian atau cawangan. UMNO juga perlu berani berubah dan menonjolkan pemimpin yang berilmu, bijaksana serta berintegriti.”

Kedua katanya, gerak kerja UMNO perlu seiring dengan perkembangan pantas dunia kini, khususnya teknologi maklumat yang menyebarkan informasi melalui pelbagai medium media sosial kerana UMNO bukan sahaja perlu bermaklumat, tetapi juga perlu pantas menyalurkannya ke medan sasar.

“Syarat ketiga, UMNO perlu membuka ruang kepada anak muda, UMNO perlu anak muda bukan sekadar tenaganya, tetapi juga menyelami pemikiran mereka. Anak muda abad ke-21 adalah mereka yang kreatif dan inovatif, tidak mahu terkongkong dengan alunan sejarah masa lalu, malah begitu ghairah untuk meneroka suatu yang baharu dalam mengejar kejayaan masa hadapan.

“Janganlah bersengketa sesama kita, jangan ada dusta di antara kita, ikhlas adalah pedoman kita mudah-mudahan kita bangkit bersama,” tambahnya lagi yang juga Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor. – UMNO Online

Oleh: Faizal Mohd Salleh

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.