Ahmad Maslan Sahkan Dilantik Sebagai Setiausaha Agung BN

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa, berkuat kuasa serta merta.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO, menjelaskan pelantikannya itu bukan bermakna Annuar dipecat sebaliknya digantikan.

“Beliau (Annuar) tidak dipecat, beliau digantikan. Biasanya Setiausaha Agung UMNO ialah Setiausaha Agung BN. Saya kira itu antara sebabnya. Saya juga diberi tugas untuk menjadi Setiausaha Agung MN (Muafakat Nasional).

“Saya ingin tegaskan ia adalah menggantikan. Presiden ada sebut tadi, perkataannya adalah ‘saya mengganti tugas beliau (Annuar) itu’,” kata Ahmad ketika ditemui pemberita selepas perjumpaan khas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua UMNO Bahagian-Bahagian di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad enggan mengulas dakwaan bahawa perubahan jawatan berkenaan adalah disebabkan Annuar kononnya tidak menghormati presiden parti dan berpihak kepada Bersatu.

Sementara itu, Ahmad berkata UMNO kekal dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Dap, sebaliknya memperkukuhkan kerjasama dengan PAS dalam MN, serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ditanya mengenai kemungkinan UMNO bekerjasama dengan parti lain termasuk Amanah dan PKR, beliau berkata perkara itu tidak dibincangkan pada masa ini.

Mengulas mengenai amanat Ahmad Zahid pada perjumpaan tersebut, Ahmad berkata presiden UMNO itu, antara lain mengulangi pendirian agar parti bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Ahmad berkata UMNO akan mengadakan mesyuarat biro politik pada petang esok dan diikuti mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), di sebelah malam.

Berhubung berita tular bahawa Ahmad Zahid dikatakan meminta Ahli Parlimen UMNO keluar daripada kerajaan sebelum Februari ini, Ahmad berkata perkara tersebut tidak dibangkitkan pada perjumpaan hari ini.

Sementara itu setakat ini, usaha Bernama untuk mendapatkan reaksi daripada Annuar belum menerima maklum balas.

Namun, Annuar memuat naik status di akaun Twitternya dengan kenyataan, “Ramai yang minta komen .. saya tiada apa komen buat masa ini .. tempoh bertenang..”. – BERNAMA