Ahli UMNO Matang, Tiada Situasi ‘Panas’ Semasa Mesyuarat Perwakilan – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Mesyuarat perwakilan UMNO bahagian yang berlangsung secara serentak di seluruh negara menyaksikan sikap matang ahli UMNO, walaupun ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19 dan keadaan politik yang rapuh.

Perkara itu diakui oleh penganalisis politik, Md Shukri Shuib yang melihat perwakilan yang menyertai mesyuarat sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Wujud kesepakatan. Mereka ini boleh diurus dengan baik, mudah memahami situasi dan juga boleh bekerjasama sesama mereka.

“Jadi saya fikir dalam keadaan COVID-19, itu antara elemen positif yang ada pada UMNO. Di mana kita lihat bahawa mudahnya perwakilan itu memahami.

“Ada penjarakan, pemakaian pelitup muka, ‘hand sanitizer’ dan sebagainya. Langkah yang diambil ini merupakan satu langkah proaktif kerana memahami situasi,” katanya ketika dihubungi UMNO ONLINE.

Jelas beliau, hal ini juga memperlihatkan bahawa UMNO terbukti sebuah parti yang berpengalaman mentadbir negara dan ini mengakibatkan ahli parti sudah terbiasa untuk mematuhi sebarang ketetapan yang dilakukan oleh parti.

“Jadi sebab itu kita melihat bahawa UMNO sebuah parti yang mentadbir negara daripada sebelum kemerdekaan lagi iaitu sejak pilihan raya pertama. Sampailah ke 2018 baru menjadi pembangkang.”

Tambahnya yang juga Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik dan Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), ahli UMNO merupakan kelompok yang senang diurus tadbir kerana mereka ini berada pada ‘mood’ yang memikirkan kepada pembangunan dan ketertiban.

Menurutnya tidak ada insiden merusuh atau budaya kritikan yang melampau sehingga berlaku ketegangan serta pergaduhan.

“Ini satu kelebihan yang sebenarnya jadi sikap yang positif. Dari segi pengurusan ia sudah lama terbina apabila orang itu bersifat boleh menerima pakai peraturan itu adalah merupakan satu golongan yang penting.

“Jadi dalam konteks ini UMNO adalah merupakan satu parti yang mempunyai ciri-ciri itu,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.