UMNO Perlu Selamanya Dakap Suara Rakyat, Asas Perjuangan Sejak Dahulu – Reezal

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menekankan bahawa UMNO perlu selamanya mendakap suara rakyat kerana itulah asas UMNO sejak dahulu lagi.

Katanya, hari ini, UMNO yang merupakan tunjang Barisan Nasional (BN) perlu kekal kukuh dan berpadu serta perlu dilihat relevan setelah melalui detik suram selama 22 bulan pasca PRU-14.

“Hakikatnya, UMNO merupakan sebuah parti yang cukup besar jasa dan nilainya.

“Saya peringatkan kembali akan teras perjuangan UMNO iaitu muafakat ahli dan nilai perjuangan UMNO yang terletak kepada kesetiaan ahli terhadap parti. Apatah lagi di Kepala Batas ini, kita terhutang budi yang cukup tinggi terhadap teras dan nilai perjuangan UMNO ini kepada bapa-bapa pejuang kita yang terdahulu termasuklah Ayahanda Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas merangkap Ketua UMNO Bahagian terbabit.

Beliau berkata demikian dalam penzahirannya terhadap mesyuarat UMNO Bahagian yang telah berjalan dengan lancar sebagaimana ditetapkan oleh MKT iaitu dilaksanakan serentak pada 1, 2 dan 3 Januari 2021 (Jumaat, Sabtu dan Ahad).

Katanya, persidangan UMNO Bahagian merupakan medan untuk memperjelaskan dasar-dasar parti serta agenda Kerajaan pada hari ini.

“Alhamdulillah, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas untuk tahun 2020 sempurna dilaksanakan. Secara peribadi, Mesyuarat Perwakilan ini merupakan satu himpunan yang cukup saya nantikan pada setiap tahun.

“Ia bukan sekadar berjumpa, bermesra dan mengeratkan silaturrahim sesama keluarga besar UMNO di sini, jauh daripada itu, ia merupakan medan untuk memperkukuh tekad dan menyemarakkan nyala perjuangan parti.

“Insya-Allah, UMNO Bahagian Kepala Batas akan kekal menjadi kubu dan pendokong perjuangan berkeramat ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua perwakilan yang hadir serta pimpinan Bahagian yang bersama-sama meletakkan kepercayaan kepada pucuk pimpinan dalam apa jua keputusan menentukan arah tuju parti,” katanya lagi.

Mesyuarat Bahagian UMNO ini telah tertangguh ekoran penularan COVID-19 diputuskan diadakan secara serentak di 191 Bahagian dan akan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing.

Begitu juga dengan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan diadakan pada 30 Januari 2021 (Sabtu) dan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari 2021 (Ahad). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.