UMNO Johor Hormati Pendirian Pagoh, Pegang Teguh Usaha Muafakat

PONTIAN, 4 Jan – UMNO Johor menghormati pendirian UMNO Bahagian Pagoh berhubung pendirian mereka untuk bertanding di kawasan Parlimen tersebut, kata Pengerusinya, Datuk Ir Hasni Mohammad.

“Walaupun hasrat UMNO Negeri Johor agar kerusi Parlimen Pagoh itu dikekalkan untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi kita menghormati keputusan UMNO Bahagian Pagoh yang hendakkan supaya ketiga-tiga kerusi termasuk di kerusi Parlimen Pagoh ditandingi oleh UMNO.

“Saya juga mengharapkan UMNO Pagoh mendokong kepada usaha muafakat, perbincangan dan kaedah menang-menang sebagai satu yang menjadi pegangan, kaedah kita di Johor,” katanya kepada media sebaik selesai merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan, semalam.

Ulas Menteri Besar Johor itu, UMNO negeri akan duduk berbincang dengan bahagian tersebut dan termasuk beberapa perkara lain juga akan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Hasrat UMNO Bahagian Pagoh itu akan kita bawa. Saya tidak akan membelakangkan keputusan UMNO Bahagian Pagoh, saya akan bawa ke pihak Majlis Kerja Tertinggi dan beberapa langkah selain daripada menuntut kerusi-kerusi untuk ditandingi oleh Barisan Nasional.

“Kita juga mempunyai pandangan bahawa Badan Perhubungan sewajarnya diberikan mandat untuk menentukan parti dan calon yang bertanding. Itu adalah satu proses yang kita hormati,” ujarnya.

Berhubung dengan usul-usul dari bahagian-bahagian, UMNO Johor juga katanya menggambarkan hasrat bahagian-bahagian untuk terus diberi ruang bertanding di dalam pilihan raya khususnya di kawasan-kawasan yang dahulunya mereka wakili.

Selain itu jelas Ir Hasni, hasrat bahagian turut meminta supaya pilihan raya umum (PRU) segera diadakan.

“Juga usul-usul bahagian-bahagian supaya logo parti yang bertanding menggunakan lambang dacing dan parti Barisan Nasional (BN). Maka dalam persidangan UMNO Bahagian Pontian pada hari ini kita juga setuju memandangkan kerajaan negeri yang mempunyai majoriti yang begitu tipis.

“Bahawa agak sukar mentadbir sebuah kerajaan yang berada dalam keadaan sedemikian. Maka jalan yang terbaik untuk segera diadakan pilihan raya umum dalam masa yang terdekat dan untuk pengagihan kerusi, untuk ketetapan calon sebagai pengerusi perhubungan saya akur dengan keputusan Majlis Tertinggi supaya perkara itu perlulah dirundingkan terlebih dahulu,” ujarnya.

Ir Hasni juga melahirkan kesyukuran kerana semua bahagian di negeri Johor dapat menyempurnakan persidangan dengan lancar.

“Hari ini adalah hari terakhir untuk secara rasmi bahagian-bahagian seluruh negeri Johor telah mengadakan mesyuaratnya masing-masing termasuklah UMNO Bahagian Pontian.

“Dan saya bersyukur semua 26 bahagian berjalan dengan lancar, tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Di mana bahagian-bahagian telahpun mengambil inisiatif untuk membuat usul sebagai salah satu daripada pengisian mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian seluruh negeri Johor,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian.

Untuk rekod, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini setelah ditangguhkan beberapa kali akibat penularan pandemik COVID-19. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamad

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.