i-Sinar Atau i-Kecewa? Mana Janji Untuk Permudahkan Urusan Rakyat?

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Pemuda UMNO mendesak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tampil segera bagi memberi penjelasan mengenai isu ramai yang mendakwa bahawa permohonan mereka melalui i-Sinar ditolak, hari ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia banyak menerima keluhan rakyat yang hampa kerana permohonan mereka ditolak KWSP.

“Mana janji KWSP dan Kerajaan bagi mempermudahkan urusan rakyat untuk mengeluarkan duit simpanan mereka sendiri?

“Di mana janji Kerajaan yang memberi jaminan bahawa isu KWSP tanpa syarat/kriteria masih boleh dirundingi ketika mahu Bajet diluluskan di Parlimen tempoh hari?” soal beliau dalam satu kenyataan melalui laman Facebooknya, hari ini.

Tegasnya, rakyat tidak akan marah dan menuntut jika bukan kerana situasi mendesak ketika ini tatkala pandemik COVID-19 yang benar-benar memberi kesan terhadap kelangsungan hidup mereka.

Dilaporkan, KWSP telah memperkenalkan kemudahan akses simpanan Akaun 1, i-Sinar dengan permohonan boleh dilakukan mulai 21 Dis lalu dan hari ini keputusan permohonan boleh disemak untuk mengetahui sama ada permohonan diluluskan ataupun sebaliknya.

Terdahulu, KWSP memaklumkan i-Sinar akan memberi manfaat kepada ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan bersandarkan kepada beberapa kategori dan syarat seperti bagi ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 bawah RM90,000 dan melebihi amaun tersebut.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) menggesa kerajaan Persekutuan agar pembayaran sekaligus diberikan kepada pencarum KWSP berbanding secara berperingkat dan melanjutkan moratorium secara automatik secara pukal sehingga Jun tahun 2021 bagi membantu rakyat mendepani kesukaran hidup akibat pandemik COVID-19. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.