UMNO/BN Lipis Sedia Pertahan Parlimen Dan Tiga DUN

LIPIS, 3 Jan – UMNO dan Barisan Nasional (BN) bahagian Lipis akan memastikan parlimen serta tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen Lipis ditandingi parti berkenaan.

Ketua UMNO bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata tidak ada kompromi mahupun tolak ansur dalam perkara berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“UMNO dan BN mesti terus mempertahankan kerusi di Parlimen dan ADUN di Lipis. Tiada kompromi dan tolak ansur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Lipis, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Lipis seterusnya berkata, kerusi Parlimen dan DUN di Lipis ini adalah kerusi tradisi yang ditandingi oleh UMNO dan MCA sejak sekian lama.

“Kerusi-kerusi ini juga masih berjaya dikekalkan pada PRU-14. Jika diberikan kepada parti lain, bukan mudah untuk kita dapatkannya kembali.

“Jadi, kerusi-kerusi ini haruslah terus dikekalkan dibawah panji-panji Barisan Nasional untuk menghadapi PRU-15,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.