Ambil Iktibar PRU-14, Lebih Waspada Rencana Langkah Menangi Hati Rakyat

IPOH, 3 Jan – Anggota UMNO perlu mengambil mengambil iktibar dari peristiwa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) untuk menjadikan lebih berwaspada dan berhati-hati dalam merencana langkah dalam memenangi hati rakyat.

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Muhammad Iqbal Jamal Jamaludin yang menzahirkan keyakinan dan percaya bahawa UMNO di peringkat pusat telah membuat keputusan dengan mengambil kira semua sudut dan perspektif dalam kesepakatan mencari peluang untuk kembali menerajui pentadbiran negara.

“Dengan yakin dan percaya yang kami semat dalam diri, kami di peringkat sayap dan akar umbi akan sebulat suara memberi ruang dan kepercayaan kepada kepimpinan tertinggi UMNO dalam membuat keputusan dasar tertentu buat kelangsungan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, hari ini.

Dalam ucapannya, beliau mengingatkan akan pentingnya kebersamaan pemimpin di peringkat pusat dan akar umbi di peringkat sayap mahupun cawangan supaya dapat memperlihatkan imej UMNO yang tidak berpecah belah di mata rakyat.

“Keserasian kita berpolitik dalam kalangan parti UMNO ini adalah cerminan jelas buat rakyat bahawa kestabilan kita bersama ahli dan pucuk pimpinan menjadi wadah kepada perjuangan bersama demi kesejahteraan negara.

“Keterbukaan pemimpin di saf jawatankuasa tertinggi dalam mengambilkira perspektif dan idea dari akar umbi adalah bonus buat parti keramat ini. Jalinan dan sifat keterbukaan pemimpin dan akar umbi dalam menerima dan memperbaiki usul bersama adalah elemen terbaik boleh kita jadikan wadah kepada persediaan menjelang PRU15.

“Tidak dinafikan, akar umbi adalah komponen yang paling dekat dengan rakyat, begitu juga sanubari mereka,” katanya.

Terdahulu beliau turut memberi penekanan agar Pemuda UMNO dan golongan muda kembali kepada akar perjuangan parti yang asal, iaitu rela berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan dan memelihara agama, bangsa dan negara.

“Saya melihat pemuda sudah mulai menyusur akar, menganjurkan pelbagai program bagi membina kader-kader parti dengan memantapkan ilmu, memperkukuh rohani, mencanai keyakinan dan membina jati diri demi perjuangan UMNO,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.