Ahli UMNO Berjuang Dengan Bijak, Fokus Hala Tuju Menang PRU-15 – Ismail Sabri

BERA, 3 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa anggota UMNO untuk berjuang dengan bijak dan fokus hala tuju bagaimana mahu menang dalam setiap kerusi yang UMNO/Barisan Nasional tandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, jangan biarkan emosi menjadi faktor utama dalam perjuangan kerana ia akan merosakkan hala tuju sebenar untuk menang dalam PRU-15.

“Jangan takut dan peduli dengan apa yang orang buat tapi fikir apa yang kita patut buat untuk menang PRU-15. Kita teruskan kerjasama dengan semua pihak termasuk MCA, MIC dan PAS kecuali Dap dan PKR.

“Selepas tewas PRU-14, Pakatan Harapan (PH) yang didominasi Dap melakukan pelbagai tekanan kepada Melayu Islam Bumiputera, hak keistimewaan orang Melayu diganggu gugat, Rasulullah dihina, Raja-Raja Melayu dipertikai dan harta orang Islam dijual, maka, kita harus terus lindungi kerajaan Melayu Islam Bumiputera demi hak dan kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian dalam ucapan perasmian mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian terbabit, semalam.

“Jangan risau mereka menggunakan wang untuk membeli ahli kita sebab ahli yang boleh dibeli tidk layak berada di dalam UMNO… UMNO perlukan pejuang yang tidak mudah dikaburi dengan wang ringgit bukannya mereka yang sanggup menjual parti dan maruah hanya demi wang.

“Perjuangan kita adalah demi agama, bangsa dan negara, maka saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang masih setia dan berusaha keras untuk memastikan UMNO terus berdiri kukuh dan kembali berkuasa.”

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa UMNO mesti sentiasa mempunyai ikatan dengan golongan muda.

“Sayap UMNO harus melakukan aggagement dengan orang muda. Sekiranya kita gagal mendekati orang muda maka mereka pasti berpaling kepada parti lain.

“Orang Melayu mesti bersatu dan elakkan perpecahan… parti-parti Melayu perlu elakkan pertembungan yang boleh memecah belahkan undi Melayu,” katanya.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut memaklumkan pendirian UMNO Bera yang tidak menyokong gerakan pihak-pihak tertentu untuk membawa parti menyokong Anwar Ibrahim dan Dap.

“ Ini kerana masalah moral Anwar Ibrahim dan hubungan beliau dengan kumpulan Yahudi seperti mana yang sentiasa disebut oleh Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri ke-4, manakala Dap merupakan parti rasis yang berjuang menyamaratakan rakyat Malaysia dengan menolak hak keistimewaan Bumiputera dan Islam dengan konsep Malaysian Malaysia… sehingga sekarang Dap masih kekal dengan konsep ini,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.