UMNO Perlu Dihayati, Pastikan Golongan Muda Warisi Perjuangan Demi Agama, Bangsa, Negara – Jais

KLUANG, 2 Jan – Pemimpin dan ahli-ahli UMNO disarankan agar memahami isu politik dan menghayati kewujudannya agar perjuangannya dapat terus diwarisi kepada generasi yang seterusnya.

Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday menyifatkan bahawa setiap anggota parti mempunyai peranan dan memahami tugas-tugas serta tanggungjawabnya sebagaimana adanya ketua, pengikut, petugas tertentu dan lain-lain peranan dalam kumpulan yang tujuannya untuk menjaga perkara-perkara yang berkaitan rakyat seperti soal keselamatan, pentadbiran dan lain-lain.

“UMNO merupakan sebuah parti politik – asas tujuannya adalah untuk memerdekakan Tanah Melayu, seterusnya memelihara agama Islam, bangsa Melayu serta Bumiputera dan negara Malaysia, dengan menjaga kepentingan bangsa-bangsa lain supaya boleh membentuk bangsa Malaysia yang harmoni.

“Dalam menguruskan amanah ini kita telah memilih UMNO sebagai parti keramat yang sarat dengan perjuangan untuk diwarisi dari pengasasnya dan mereka (pemimpin) yang terdahulu.”

Ujarnya,tugas pewaris ialah untuk memastikan parti diurus dengan baik supaya kehadirannya dalam masyarakat melalui golongan muda iaitu Pemuda dan Puteri UMNO dirasai.

“Jangan malu untuk belajar dari mereka yang terdahulu kerana politik sekarang tidak sama,” ujarnya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kluang, di sini, malam tadi.

Katanya, perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14  menuntut UMNO untuk melakukan transformasi dan pembaharuan dari segi pendekatan, nilai dan sikap demi memulih dan memperkuhkan kepercayaan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional.

“Pemimpin dan ahli parti khususnya Pemuda dan Puteri harus melihat kepentingan parti sebagai keutamaan di mana pemimpin tidak penting kerana yang penting ialah mengukuhkan institusi.

“Pemimpin boleh datang, pemimpin boleh pergi tetapi UMNO mesti tetap wujud, harus kuat dan kukuh demi memastikan maruah bangsa terus terjamin,” ujarnya yang juga Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap Pemuda dan Puteri UMNO akan terus bersemangat untuk menggalas tanggungjawab dalam meneruskan ikhtiar memperkasakan UMNO, seterusnya bangkit dan kembali sebagai pengurus negara dan negeri selepas PRU-15 nanti.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri adalah pada 1, 2 dan 3 Januari 2021 (Jumaat, Sabtu dan Ahad).

Mesyuarat Bahagian UMNO yang telah tertangguh ekoran penularan COVID-19 diputuskan diadakan secara serentak di 191 Bahagian dan akan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing.

Begitu juga dengan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan diadakan pada 30 Januari 2021 (Sabtu) dan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari 2021 (Ahad).

Ianya akan diadakan di PWTC dengan kehadiran yang terhad dan juga akan dibuat secara maya. – UMNO Online

Oleh: Faizal Mohd Salleh

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.