Perkuatkan UMNO, Untung Nasib Rakyat Hanya Terbela Apabila Parti Kuat – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 2 Jan – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyeru anggota parti untuk perkuatkan UMNO kerana untung nasib rakyat akan terbela apabila parti kuat.

Katanya, ahli-ahli UMNO perlu utamakan perjuangan dan bukan perjuangan diri yang didahulukan.

“Kepercayaan harus berjalan dua hala. Keyakinan dalam perjuangan adalah faktor kekuatan. Tidak ada jalan singkat dalam perjuangan, semuanya melalui liku-liku kesukaran,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata demikian dalam perutusan sempena mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian yang berlangsung bermula 1 – 3 Jan ini.

Pesan Bung Moktar lagi, jangan berjuang mengikut musim atau mengikut-ngikut.

“Pelajarilah ilmu politik, politik ada budayanya, politik ada naik turunnya, politik ada susah senangnya, politik ada kala kita kena mengalah untuk mencapai kemenangan. Selamat bersidang,” katanya lagi.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri adalah pada 1, 2 dan 3 Januari 2021 (Jumaat, Sabtu dan Ahad).

Mesyuarat Bahagian UMNO yang telah tertangguh ekoran penularan COVID-19 diputuskan diadakan secara serentak di 191 Bahagian dan akan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing.

Begitu juga dengan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan diadakan pada 30 Januari 2021 (Sabtu) dan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari 2021 (Ahad).

Ianya akan diadakan di PWTC dengan kehadiran yang terhad dan juga akan dibuat secara maya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.