Perwakilan UMNO Diingatkan Tidak Abai SOP Perangi COVID-19, Kita Jaga Kita – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 1 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sekali lagi mengingatkan para perwakilan UMNO yang melaksanakan mesyuarat Bahagian untuk tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19.

Katanya, anggota parti perlu pastikan semua mesyuarat perwakilan akan ikut SOP yang ditetapkan.

“Kita tidak mahu ada berlaku ‘kluster UMNO’ wujud di mana jua. Mestilah dielakkan dan sentiasalah berwaspada. Kita jaga kita,” katanya kepada UMNO Online, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian memaklumkan bahawa setakat hari ini, persidangan yang dijalankan berlangsung dengan lancar.

“Setakat gambar-gambar hari ini diberi kepada saya melalui group WhatsApp, kelihatan semua berjalan baik.

“Penjelasan saya telah lakukan kepada semua Setiausaha UMNO Bahagian, Setiausaha UMNO Perhubungan Negeri dan Setiuasaha Kerja UMNO pada 28 Dis lalu di PWTC dan dalam surat pekeliling yang dihantar kepada semua yang berkaitan sebelum itu lagi,” katanya lagi.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan bahawa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri dilaksanakan secara serentak pada 1 hingga 3 Jan selepas beberapa kali tertangguh ekoran penularan pandemik COVID-19.

Ahmad Maslan turut memberikan senarai SOP bagi memerangi COVID-19 yang antaranya ialah:

1. Dewan hanya boleh dipenuhi separuh sahaja iaitu 50% kapasiti. Jika biasanya dewan itu muat 400 orang, SOP hanya membenarkan 200 orang sahaja.
2. Pastikan ada penjarakkan fizikal dalam semua keadaan.
3. Pastikan pelitup muka dipakai pada setiap masa.
4. Pastikan ada pengambilan suhu (di kepala) dibuat di pintu masuk dewan.
5. Pastikan ada aplikasi mysejahtera atau buku mencatat nama & nombor hphone.
6. Mereka yang tidak sihat jangan hadir walau sudah ditentukan sebagai perwakilan.
7. Jangan berasak-asak dan tidak perlu bersalaman.
8. Jika kawasan PKPB, PKPD & zon merah, disyorkan mesyuarat perwakilan dibuat secara maya.

Hari ini beberapa bahagian telah melaksanakan persidangan yang dimulakan oleh Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Bahagian. Antaranya ialah Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Masjid Tanah, Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Machang dan juga Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pokok Sena. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.