Mesyuarat UMNO Medan Muhasabah Terpenting, Angkat Institusi Parti – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 1 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat perwakilan UMNO bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan Perlembagaan tetapi merupakan medan muhasabah terpenting parti bagi merencanakan startegi dan mengangkat institusi parti.

Katanya, tahun ini UMNO bersidang bukan lagi sebagai pembangkang tapi menjadi sebahagian dari kerajaan akibat daripada runtuhnya rejim Pakatan Harapan yang bergolak dan berbalah sesama sendiri sehingga jatuh tersungkur.

“Ini merupakan perkara yang harus diambil sebagai pengajaran bahawa tidak selama-lamanya kuasa berada di tangan kita, ada kalanya kita berada di bawah dan adakalanya berada di atas. Semuanya bergantung kepada tingkah dan olah kita sama ada memenuhi tuntutan wahyu Ilahi,” katanya dalam perutusan sempena mesyuarat UMNO Bahagian empat peringkat yang bermula serentak hari ini sehingga 3 Jan.

Ujarnya, dinamika politik sentiasa berubah dan menuntut Pemuda berani untuk tampil bagi memperjuangkan suara rakyat dan berdepan dengan realiti kesusahan serta kepedihan rakyat.

“Pemuda jurubicara rakyat harus disemat dan harus terus membantu rakyat. Pergerakan Pemuda UMNO harus bersiap siaga perkukuhkan semua saf kepimpinan di semua peringkat dan bersedia berdepan dengan pilihan raya bila-bila masa.”

Yang utama katanyan, anggota parti harus berpegang kepada cogan kata UMNO iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

“Saya tinggalkan dengan suatu harapan agar kita dapat terus menyubur dan menyalakan obor-obor perjuangan ini. Kukuhkan saf perjuangan kita dan bergerak sederap ke hadapan serta memastikan kita sentiasa tampil relevan untuk berjuang demi Allah, kerana rakyat dan kerana kita cintakan negara ini. Pemuda Bangkit kembali, Pemuda jurubicara rakyat, Pemuda teras kebangkitan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.