Harungi Tahun 2021 Dengan Semangat Kerja Yang Lebih Tinggi – Norliza

KUALA LUMPUR, 1 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim mengajak semua pihak untuk sama-sama mengharungi tahun 2021 dengan semangat kerja yang lebih tinggi dan cara kerja yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Katanya, tahun 2020 merupakan sebuah perjalanan yang penuh dengan cabaran.

“Suatu tahun yang kita mendepani dengan penuh kesabaran, ketabahan, kepayahan walaupun ada cerita gembiranya dan cerianya, namun pandemik COVID-19 ini telah mengajar kita erti bersyukur dan kebersamaan itu.

“Alhamdullilah syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izin-NYA dapat kita melangkah dengan penuh harapan permulaan tahun 2021, suatu tahun yang diharapkan membawa sinar cahaya kepada kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan sempena tahun baharu.

Dalam kenyataan tersebut, beliau memetik Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim iaitu: “Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain.”

Jelasnya, iktibar hadis ini membawa makna yang sangat besar apatah lagi di waktu susah payah perjuangan sehingga kepada kehidupan sekarang dan manusia yang bernasib baik akan memberi kebaikan kepada manusia yang memerlukan bantuan orang lain dan seterusnya.

“Sehubungan itu, saya percaya perjuangan Wanita perlu terus diperkasakan dalam usaha mengarusperdana “visibility” kerana ia memberi manfaat bukan sahaja kepada wanita, tetapi juga kepada golongan lelaki, keluarga, masyarakat dan negara sendiri.

“Usaha ini hendaklah menitikberatkan elemen menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi yang menghalang pengupayaan wanita yang pastinya memberi satu jaminan yang sangat besar dalam sumbangan kepada pembangunan negara serta perjuangan parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) sendiri.

“Kita di UMNO dan BN ini ibarat sebuah keluarga besar dan hubungan erat antara satu sama lain perlu terus dipupuk walaupun sekadar berbalas senyuman semasa bertemu apatah lagi hendaklah menjadi rakan mesra kepada rakyat dan masyarakat.”

Ujarnya yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia merangkap Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang, semangat kerjasama sebagai satu pasukan adalah amat penting bagi memudahkan kita melaksanakan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan dalam lingkungan keterbatasan (limitation) keupayaan parti sekarang.

“Namun saya berharap agar seluruh Wanita melaksanakan tugas dan tanggungjawab walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran. Kita sedia maklum bahawa dunia kini sangat berbeza dengan adanya kemajuan IR4.0, Internet of Things (IoT) dan teknologi 5G.

“Seiring dengan kepesatan teknologi ini, kita mestilah terus berpegang kepada nilai-nilai murni, pegangan jatidiri, agama dan keluarga yang mengukuhkan aspek sosial dalam kehidupan seharian pada tahun 2021 serta tahun-tahun yang mendatang.

“Saya juga ingin mengingatkan semua agar terus mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi membendung penularan Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda-tanda surut. Teruskan “kita jaga kita” dan tolong jangan sebar berita palsu atau fitnah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.