Walau Bersidang Di Luar Kelaziman, Fokus UMNO Ke Arah Keputusan Terbaik – Shahril

KUALA ALUMPUR, 31 Dis – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, walaupun mesyuarat UMNO Bahagian kali ini dilaksana di luar daripada kelaziman lantaran penularan wabak pandemik COVID-19, namun semangat anggota parti tetap sama.

Katanya, walaupun persidangan dilaksana dengan kuorum atau kehadiran yang kecil dari segi hakiki dan fizikalnya atau selebihnya secara maya atau online, tetapi semangat yang di bawa ke persidangan bahagian dan juga Perhimpunan Agung tidak berbeza.

“Apatah lagi kita dalam keadaan yang genting dari segi politik dan kritikal supaya keputusan-keputusan kita tepat, jangan kita mengurangkan fokus kita dan iltizam kita dalam melaksanakan perbincangan dan perbahasan yang saya harap terbuka, diberi ruang yang sebesar-besarnya kepada ahli dan kepada perwakilan untuk menyuarakan pandangan kerana kita berada dalam satu persimpangan yang cukup penting,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya lagi yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, langkah UMNO seterusnya adalah tepat dan betul maka kaedah persidangan yang berbeza tidak menjadi sebarang sebab untuk mengurangkan semangat dan fokus ke arah keputusan yang terbaik.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri adalah pada 1, 2 dan 3 Januari 2021 (Jumaat, Sabtu dan Ahad).

Mesyuarat Bahagian UMNO yang telah tertangguh ekoran penularan COVID-19 diputuskan diadakan secara serentak di 191 Bahagian dan akan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing.

Begitu juga dengan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan diadakan pada 30 Januari 2021 (Sabtu) dan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari 2021 (Ahad).

Ianya akan diadakan di PWTC dengan kehadiran yang terhad dan juga akan dibuat secara maya. – UMNO Online