Tahun Baharu 2021, Aspirasi UMNO Tekadkan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’

UMNO membuka tirai tahun 2021 dengan mengadakan mesyuarat peringkat Bahagian secara serentak yang melibatkan 121 bahagian di seluruh negara termasuklah Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri.

Sesungguhnya, persidangan yang berlangsung pada tahun baru ini menjadi aspirasi kepada anggota parti yang bukan sekadar untuk memenuhi tanggungjawab pelaksanaan mesyuarat agung mengikut perlembagaan UMNO atau untuk menepati kehendak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tetapi yang utama adalah fokus kepada hala tuju untuk masa hadapan.

Ini kerana realitinya UMNO telah menjadi pelopor dalam perjuangan bangsa Melayu, merintis laluan, membawa harapan dan menyemarakkan semangat rakyat keseluruhannya dengan berteraskan sokongan dari masyarakat di akar umbi untuk semangat nasionalisme, perjuangan kemerdekaan dan seterusnya membawa manifestasi negara bangsa untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan menuju negara maju.

Namun demikian, Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu menjadi sejarah baharu kepada UMNO apabila buat pertama kalinya, gagal menerajui kerajaan bersama Barisan Nasional (BN) dan tampuk pentadbiran beralih kepada Pakatan Harapan (PH).

Sememangnya, kegagalan mengekalkan kuasa memberi pengajaran yang amat berharga bukan sahaja kepada anggota parti tetapi juga kepada bangsa Melayu dan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Ini kerana sepanjang 22 bulan pentadbiran PH, pelbagai perkara yang tidak pernah terfikir dek akal telah berlaku sehinggakan agama Islam dipersenda, bangsa Melayu diperkecil dan dipandang rendah selain wujudnya tindakan secara halus untuk ‘mengusik’ hak kaum Melayu dan golongan Bumiputera.

Tindakan PH untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang secara langsung akan menyebabkan nasib orang-orang Melayu dan juga Bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak akan terjamin.

Sememangnya kuasa Ilahi penentu segala… 22 bulan PH berkerajaan runtuh akibat kedangkalan mereka sendiri pada Mac lalu dan kemudian ahli-ahli Parlimen UMNO menjadi pendukung bagi mewujudkan kerajaan baharu iaitu Perikatan Nasional (PN), hari ini.

Tahun 2020 meletakkan UMNO dalam fasa yang berbeza iaitu sebagai pembangkang pada awal tahun dan kemudian menjadi sebahagian dari kerajaan malah ahli-ahli Parlimennya memainkan peranan bukan sahaja dalam Dewan Rakyat tetapi juga sebagai menteri-menteri dalam memastikan kerajaan PN bergerak.

Lebih dari itu, ahli-ahli Parlimen UMNO terlibat secara langsung dalam memastikan Belanjawan 2021 diluluskan dengan keutamaan adalah bagi memperjuangkan nasib dan kepentingan rakyat.

Ini kerana anggota Parlimen UMNO mendahulukan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat apatah lagi di kala negara dilanda pandemik COVID-19 dengan menyuarakan dan bertegas agar kerajaan melulus dan mempermudahkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagaimana yang diharapkan rakyat kerana mengeluaran KWSP ini dapat meringankan kos sara hidup rakyat yang makin terhimpit akibat wabak tersebut.

Dalam masa yang sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah menegaskan bahawa proklamasi darurat di seluruh negara atas alasan apa sekalipun wajib ditolak selain meminta mandat rakyat dikembalikan sejurus pandemik COVID-19 dapat diatasi.

Begitu juga pendirian dalam perkongsian kuasa dan kerjasama dengan Presiden UMNO menekankan bahawa penterjemahan terhadap kejujuran bukan hanya sekadar
persetujuan lisan tetapi pelaksanaannya dan tidak timbul siapa yang berbudi atau siapa yang terhutang budi, namun bagaimana kebersamaan diterjemahkan, malah muslihat politik hendaklah diketepikan dan apabila kejujuran politik diberi keutamaan, ‘jangan ada telunjuk lurus kelingking berkait’.

Sungguh, UMNO berdepan dengan cabaran sepanjang tahun 2020 dan menghadapi pelbagai kritikan namun sebagai parti yang bertunjangkan akar umbi di serata pelusuk negara maka keupayaan UMNO dalam mendepani halangan dilaksana secara holistik. Tohmahan, hasutan, manipulasi dan apa jua provokasi yang dilontarkan oleh segelintir pihak diangkat sebagai asbab bagi memperteguh lagi kesatuan dalam UMNO.

Sebagaimana usia UMNO yang melebihi tujuh dasawarsa, setiap generasi tentunya mempunyai penghayatan kepada cogan katanya iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ yang menjadi azimat sepanjang masa dan mengekalkan parti ini sejak dulu, kini dan selamanya.

Sesungguhnya, perjuangan UMNO perlu dikekalkan kerana parti ini menjadi teras orang Melayu, menjadi pemangkin kepada kedaulatan negara dengan mengangkat perjuangan bangsa, yang aspirasinya adalah memenangi pilihan raya umum kelak.

Justeru, mandat baru daripada rakyat adalah satu harapan dengan bencana yang menimpa adalah pengajaran untuk melangkah ke tahun 2021.

Insya-Allah, ahli UMNO teruskan fokus kerana harapan dan masa hadapan tetap ada… Selamat tahun baharu 2021 dan Selamat Bersidang!

EDITOR UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.