Persidangan UMNO Pada Tahun Baru 2021, Tingkatkan Keazaman Teruskan Perjuangan Parti – Ku Nan

PUTRAJAYA, 31 Dis – Bersempena keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang memutuskan bahawa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri dijadual dilaksanakan pada 1 hingga 3 Jan, Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan ucapan kepada anggota parti.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, pelaksanaan persidangan yang dibuat sempena tahun baru perlu diangkat sebagai iltizam bagi meningkatkan keazaman dalam meneruskan perjuangan UMNO.

“UMNO sentiasa diuji dan kita ahli-ahlinya juga tidak lepas dari melalui ujian. Kita melihat bagaimana natijahnya apabila UMNO hilang kuasa lantaran perpaduan Melayu yang rapuh, maka tampuk pentadbiran kerajaan beralih arah dan kita teruji sebagai pembangkang.

“Lebih dari itu, penzahiran kesetiaan anggotanya turut tercalar apabila ada yang mula luntur sokongan dan beralih arah. Keperitan meneruskan perjuangan amat terasa, dihimpit, ditekan, diperdaya malah ada segelintir yang diheret kemuka pengadilan atas tuduhan yang sengaja diada-adakan namun UMNO masih ada upaya.

“Rencana Ilahi melangkau akal kita apabila menjadi pembangkang tidak sampai sepenggal dan kerajaan Pakatan Harapan yang penuh kebatilan runtuh, maka kini UMNO menjadi sebahagian dari kerajaan, tetapi itu semua adalah permulaan untuk ‘peperangan’ kita yang lebih nyata menjelang Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.

Sehubungan itu, beliau amat berharap seluruh warga UMNO agar sentiasa siap siaga selain bekerja dengan gigih dan kuat untuk memenangi hati rakyat serta tidak gentar untuk menghadapi cabaran yang datang dari mana-mana parti politik sekalipun.

“UMNO harus meneruskan tekad demi perjuangan berterusan, sanggup bekerja sepenuh hati dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi. Ayuhlah, kita bersama teruskan langkah seiring, berganding bahu dan membulatkan tekad bagi mengembalikan maruah agama, bangsa dan negara.

“Selamat tahun baru 2021 dan selamat bersidang,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.