Pelajarilah Masa Lalu Untuk Masa Depan, UMNO Sebuah Perjuangan Tidak Bernoktah – Ir Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain menyeru kepada Pemuda UMNO bahawa akar umbi sedang melihat dan menilai prestasi pemuda, kerana saat inilah dilihat sebagai cerminan masa depan parti.

Jelas beliau, parti UMNO ini adalah sebuah perjuangan yang suci maka ia harus diperkasakan agar kembali menjulang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Jatuh bangunnya parti terletak di atas jalan perjuangan yang sedang kita turapkan untuk masa depan. Sama ada kita akan benar-benar kembali bangkit dalam PRU-15 atau hanya menjadi sebahagian daripada koridor kuasa. Jawapannya juga tergantung kepada kualiti ‘jalan’ yang sedang kita bina.

“Pelajarilah masa lalu jika ingin memiliki masa depan. Ambil yang baik, buang yang keruh jangan pernah merasa putus asa membela nasib rakyat kerana UMNO wujud untuk rakyat. Jangan pernah berhenti mengangkat suara rakyat walau kadang pahit buat halwa telinga kawan dan lawan.

“Ingatlah bahawa UMNO ini sebuah perjuangan. Jalannya masih panjang dan tidak bernoktah. Jalannya juga tidak lurus ditabur bunga. Menanjak menurun, penuh onak dan duri. Namun… demi rakyat dan pertiwi, biarpun esok langit akan runtuh, biarpun esok kiamat akan datang, kita akan bersama terus berjuang, dulu, kini dan selamanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah Ir Abdul Aziz lagi, UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan namun jika hilang kuasa lagi ia amat memeritkan.

“Kali ini kita bersidang bukan lagi sebagai parti pembangkang tetapi sebagai sebuah parti yang berkongsi kuasa di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri. Namun… janganlah kita alpa dibuai kuasa dan pangkat yang baharu dimiliki ini sehingga lalai untuk memperkukuhkan parti di segenap peringkat.

“Insafilah saat-saat kita kehilangan kuasa. Jangan sampai rakyat sekali lagi menghukum kita kerana gagal belajar dari kesilapan lampau, yakni lupa pada asas dan tujuan perjuangan ini,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, UMNO Sabah kini berautonomi. Ianya adalah hasil keringat dan air mata para pejuang yang setia dan progresif agar parti terus kekal relevan di negeri ini.

“Mereka telah berusaha menggagaskan satu transformasi berani yang mana UMNO Sabah perlu berperanan lebih luas untuk mencorak halatuju dan merencana strategi politik sendiri tanpa campurtangan berlebihan daripada pusat,” tegasnya.

Justeru katanya lagi, terjemahkanlah makna autonomi ini dalam semua bentuk kata dan tindakan untuk warisan anak muda masa depan. Jangan sampai ianya hanya menjadi satu lagi bahan retorik politik yang tidak bererti – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.