2021: Kerajaan Diharap Tumpu Vaksinasi, Pemulihan Ekonomi Dan Buka Sempadan – Mohamad

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap agar kerajaan hari ini memberikan fokus serta tumpuan terhadap dua perkara penting pada tahun baharu 2021 untuk kepentingan negara dan seluruh rakyat.

Dalam perutusannya sempena tahun baharu 2021, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata pertamanya adalah vaksinasi untuk rakyat Malaysia serta menyegerakan pemulihan ekonomi dan membuka sempadan.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya menyimpan harapan agar kerajaan memberikan fokus kepada dua keutamaan untuk tahun 2021. Pertama ialah vaksinisasi setiap seorang rakyat Malaysia. Ia mesti disegerakan tanpa berlengah kepada semua warga walau di pelusuk daerah geografi mana pun mereka berada. Ia akan menjadi ‘a huge medical and logistical challenge’ kepada kerajaan.

“Kerajaan wajar mempertimbangkan prosedur proses kelulusan kecemasan untuk penggunaan vaksin COVID-19 seperti negara lain, tanpa kompromi kepada kepentingan kesihatan dan keselamatan umum. Proses ‘conditional approval’ yang ada adalah tidak selari dengan kepantasan kelulusan kecemasan global.

“Kita tidak pernah berpengalaman melakukan perkara sebegini tetapi dengan teknologi, dedikasi dan semangat patriotik kepada Malaysia, insha Allah kita boleh melakukanya. Ikhtiar vaksinasi nasional ini adalah ‘litmus test’ kepada kewibawaan Kerajaan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Dalam soal menyegerakan pemulihan ekonomi dan membuka sempadan, Mohamad seterusnya berkata tahun 2020 telah banyak dibazirkan dengan ‘politicking’.

Tegasnya tahun 2021 adalah ‘time to seriously govern’ dan segala unjuran optimistik yang diumumkan mesti segera diterjemahkan dalam bentuk pemulihan serta pertumbuhan ekonomi yang nyata.

“Lakukan apa jua tindakan radikal bagi merancakkan kegiatan ekonomi kerana kesejahteraan rakyat sangat bergantung kepadanya. Pemulihan ekonomi juga memerlukan sempadan antarabangsa untuk dibuka. Pelan ke arah itu mesti segera di sediakan kerana Malaysia adalah ‘antara negara paling global’ di dunia. Kita tidak boleh hidup ‘terasing’ sebegini terlalu lama.

“Keadaan ini harus berakhir. Tiada pertumbuhan ekonomi, pemulihan yang nyata serta pelaburan asing selain domestik yang ‘significant’ tanpa kestabilan politik kerajaan yang diyakini.

“Malaysia tahun 2020 telah hilang ‘status-quo’ dalam pelbagai sektor kehidupan, kesejahteraan sosial dan ekonomi Kita mesti segera mengembalikan Malaysia ke persada percapaian terdahulu dan menjadi lebih baik. Mari kita berazam menjayakan Malaysia yang lebih baik pada 2021 Insha Allah. Selamat Tahun Baru 2021,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.