Kolaborasi Kumpul Bank Data Jalan Raya Di Semua DUN Sabah – Bung

TONGOD, 30 Dis –   Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta semua pejabat daerah di negeri ini berkolaborasi bersama  Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pihak berkuasa tempatan (Majlis Daerah) untuk mengumpulkan data jala-jalan yang ada di kawasan masing-masing bagi memudahkan kementerian dapat mengenal pasti jalan raya yang perlu dinaik taraf atau diperbaiki.

Katanya keperluan data ini penting bagi mengenal pasti sama jalan raya tersebut dimiliki oleh pihak Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar atau pihak Majlis Daerah.

Menurut beliau dengan adanya bank data akan memudahkan pihak kementerian merancang bagi memperolehi peruntukan sama ada negeri atau persekutuan dan ianya dikendalikan oleh pihak kementerian yang bertanggungjawab membina jalan raya tersebut.

“Terdapat kekeliruan orang ramai membuat aduan apabila berlakunya kerosakan jalan raya dan kementerian yang sering diajukan masalah berkenaaan ialah Kementerian Kerja Raya, sedangkan jalan raya tersebut di bawah pengurusan pihak Kementerian Pembangunan Luar bandar, Majlis Daerah atau kalau jalan estet oleh pihak pengurusan estet berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dtemui selepas menghadiri program bersama rakyat dan bantuan bakul makanan kepada penduduk di dewan terbuka Pekan Tongod baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu menurut Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan Bank Data ini perlu bagi mempastikan jalan raya dikendalikan oleh pihak mana dan memudahkan pihak kerajaan meyalurkan peruntukan sama ada untuk memperbaiki kerosakan atau menaik taraf jalan raya terbabit.

Menurut Bung perkara ini telah beliau bangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini dan pihak kementerian Kerja Raya akan berkerjasama dengan pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar termasuk semua Pejabat Daerah bagi membincangkan isu pengwujudan Bank Data setiap jalan raya di negeri ini untuk ke semua 73 kawasan DUN Sabah.

“Di Sabah ini terdapat beberapa kategori jalan raya yang tidak diberi peruntukan jalan kayu balak, jalan estet, jalan pertanian dan jalan tanah liat sebab itu penting bagi kita membuat satu data berhubung status jalan-jalan di semua 73 DUN di negeri ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag telah memanggil kontraktor-kontraktor jalan yang dipertanggungjawabkan menyelenggara dan memantau jalan raya di negeri ini bagi segera membaiki jalan yang mengalami kerosakan akibat faktor cuaca.

“Pihak kontraktor perlu segera baiki jalan yang berlubang dan mengalami kerosakan akibat banjir atau hujan lebat dalam memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya.

Bung Moktar turut memberitahu di mana kerajaan telah meluluskan dua jalan raya iaitu Jalan Linayukan-Tongod dan Jalan Pinangah-Tongod.

Pada majlis berkenaan sebanyak 1,123  bantuan bakul makanan telah diagih-agihkan kepada penduduk.

Turut serta  pada majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Tongod, Shahruddin Chin, Penyelaras Barisan Nasional Kinabatangan Datuk Juhari Janan dan pemimpin masyarakat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.